Umum

UMNO Sabah gembira Parlimen bubar ketika negeri dilanda banjir

Badan Perhubungan UMNO Sabah mengalu-alukan keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubar Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan, tatkala negeri itu kini sedang dilanda banjir.

Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa negeri hari ini hingga 14 Oktober 2022.

Menurut ramalan itu, Sabah adalah antara negeri yang bakal menerima hujan lebat dan ribut petir, terutama pada sebelah petang membawa hingga ke malam. Ia meliputi Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort, Keningau dan Tambunan serta Pantai Barat dan Kudat.

Sehingga pagi tadi, seramai 142 orang daripada 36 keluarga di Sabah telah dipindahkan ke empat pusat pemindahan sementara (PPS) berikutan banjir di Penampang, Putatan, Papar dan Beaufort.

Jumlah itu meningkat daripada hanya 88 orang daripada 16 keluarga semalam.

Dalam satu kenyataan, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sabah berkata empat PPS itu ialah Dewan Kebudayaan di Penampang, yang menempatkan 20 mangsa daripada empat keluarga; Dewan PPR Sri Keramat, Putatan (61 orang daripada 11 keluarga).

Selain itu, Kompleks Latihan dan Pemulihan OKU di Papar melibatkan 10 orang daripada dua keluarga dan Dewan DSP Mohd Dun Banir, Beaufort (51 mangsa daripada 19 keluarga). Semua PPS dibuka pada Ahad dan Isnin berikutan hujan lebat berterusan sejak Sabtu lalu.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam, mengumumkan pembubaran Parlimen ke-14 bagi memberi laluan kepada pilihan raya awal, tanpa mempedulikan rayuan rakyat supaya tidak mengadakan PRU-15 tahun ini kerana negara bakal berdepan musim banjir.

Untuk rekod, berdasarkan ramalan dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia, Monsun Timur Laut lazimnya akan bermula pada November dan berakhir pada Mac.

Ketika tempoh ini, negara akan menerima tiupan angin yang konsisten dari arah timur laut di antara 10 hingga 20 kilometer sejam dengan beberapa siri hujan lebat yang menyeluruh juga dijangka berlaku, terutama di negeri Pantai Timur Semenanjung, Sabah dan barat Sarawak.

Sementara itu, memetik Utusan, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata keputusan pembubaran Parlimen ke-14 oleh Perdana Menteri amat tepat pada masanya bagi mengembalikan semula mandat kepada rakyat.

Biarlah rakyat memilih kerajaan baharu yang mampu membawa kepada kestabilan politik negara, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu dipetik sebagai berkata.

Menurutnya pembubaran ini juga akan menghentikan tohmahan daripad beberapa pihak yang mengatakan kerajaan hari ini sebagai kerajaan ‘Pintu Belakang’.

“Justeru, PRU kali ini rakyat perlu bijak memilih kerajaan yang akan menerajui negara, konsep fikir sebelum undi penting bagi mewujudkan kestabilan politik agar tidak mengulangi episod PRU-14 yang memilih parti yang gagal membawa kestabilan politik dan ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sumber: Agenda Daily

PALING POPULAR

To Top