Umum

Azmin kembali jadi MB jika PN menang di Selangor, kata Hilman

Mohamed Azmin Ali akan kembali menjadi menteri besar Selangor jika PN menang dalam PRN kali ini, menurut calon gabungan itu bagi DUN Gombak Setia, Hilman Idham.

Hilman berkata demikian dalam satu ceramah di Gombak Setia, malam tadi.

Hari ini calon PN di Hulu Kelang adalah Azmin Ali. Insya-Allah menang dan (dia) akan kembali ke Shah Alam sebagai menteri besar.

“(Ketua Pesuruhjaya PAS Selangor) Yunus Hairi dulu exco kerajaan negeri. Hari ini calon PN di DUN Sijangkang. Insya-Allah menang dan akan kembali ke Shah Alam juga,” katanya kepada kira-kira 40 hadirin.

Azmin menjadi menteri besar Selangor dari 2014 hingga 2018, sebelum dilantik menjadi menteri hal ehwal ekonomi ketika pentabdiran Dr Mahathir Mohamad.

Hulu Kelang boleh dianggap sebagai kubu kuat Amanah. Pada PRU lalu, Saari Sungib mempertahankan kemenangannya untuk penggal ketiga dengan majoriti 15,349 undi.

Pada PRN kali ini, Azmin akan berdepan calon daripada PKR yang juga bekas pegawainya, Juwairiya Zulkifli.

Walaupun nama Azmin ada disebut sebelum ini, PN setakat ini tidak membuat pengumuman secara rasmi berhubung calon menteri besarnya di Selangor.

Pada 31 Julai lalu, Setiausaha PAS Selangor Roslan Shahir Mohd Shahir berkata calon menteri besar Selangor hanya akan didedahkan apabila PN sah menang di negeri itu.

“Kita tidak mahu (dedah sekarang). Kita merasakan semua calon kita berkelayakan dipertimbangkan sebagai Menteri Besar, insya-Allah,” katanya seperti dipetik Berita Harian.

Sementara itu, Azmin dalam satu ceramah berbeza yang disiarkan secara langsung di TikTok, berjanji akan membaa semula inisiatif dan insentif yang pernah dilaksanakan ketika dia menjadi menteri besar.

Ia termasuklah pengecualian cukai pintu untuk rumah kos rendah, sumbangan khairat kematian sebanyak RM2,500 dan air percuma sebanyak 20 meter padu setiap bulan.

Dia juga berkata PN Selangor akan membentangkan manifestonya pada Jumaat ini.

Sumber: MalaysiaKini

PALING POPULAR

To Top