Umum

Adibah Amin diumumkan Tokoh Wartawan Negara

Gambar Facebook

Wartawan wanita veteran Adibah Amin diumumkan sebagai Tokoh Wartawan Negara pada Malam Wartawan Malaysia 2024 dan Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) MPI-Petronas 2023 pada Jumaat malam.

Adibah Amin atau nama sebenarnya Khalidah Adibah Amin, 88, merupakan wartawan wanita pertama diberikan pengiktirafan tertinggi dalam bidang kewartawanan tempatan.

Anugerah disampaikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim kepada adik perempuan beliau Fadzilah Amin, yang mewakili kakaknya yang tidak dapat hadir berikutan faktor kesihatan.

Adibah ialah anak kepada pejuang kemerdekaan Zainon Sulaiman atau Ibu Zain yang terkenal dengan kehebatannya dalam bidang kewartawanan dan penulisan, malah menjadi ahli bahasa, pendidik, serta penyampai berita yang cemerlang.

Beliau turut menulis tiga novel bahasa Melayu menerusi nama pena Seri Delima, selain menghasilkan lebih 200 drama radio.

Adibah mula menjadi wartawan New Straits Times pada 1971 dan menjadi wanita pertama menyandang jawatan sebagai pengarang Berita Harian (BH) (1983-1984), selain menjadi kolumnis BH dan The Star serta sebagai penasihat editor majalah Jelita.

Antara beberapa pengiktirafan besar lain yang diterima beliau adalah Tokoh Terjemahan Negara 2012, Anugerah Penulisan SEA (SEA Write Award) 1983, Anugerah Pengembangan Sastera Esso-Gapena 1991, Anugerah Wartawan Cemerlang Negara (Persatuan Wartawan Melayu Malaysia) 1996 dan Anugerah Tun Razak 1998.

Pada November 2006, Adibah menghasilkan novel pertama dalam bahasa Inggeris, This End of The Rainbow selain menterjemahkan beberapa karya sastera penulis Malaysia termasuklah No Harvest But A Thorn tulisan Sasterawan Negara Shahnon Ahmad (judul asal Ranjau Sepanjang Jalan).

Beliau juga menghasilkan lebih 50 buku karya asal, penyuntingan dan terjemahan antaranya Glimpses: cameos of Malaysian life MPH Group Publishing 2008, As I was passing II MPH Group Publishing 2007 dan As I was passing MPH Group Publishing 2006.

Adibah turut mempunyai bakat dalam bidang lakonan dan pernah membintangi filem yang mendapat sambutan ramai iaitu Adik Manja (1980) yang berjaya memenangi anugerah Pelakon Pembantu Terbaik dalam Pesta Filem Malaysia Pertama, serta Hati Bukan Kristal (1989) dan Mat Som (1990).

PALING POPULAR

To Top