Business

Boost Bank lancar perkhidmatan perbankan digital dalam aplikasi e-dompet

Boost Bank melancarkan perkhidmatannya secara rasmi di Malaysia dengan menawarkan akses perbankan digital kepada setiap rakyat Malaysia tanpa mengira lokasi, pendapatan dan literasi kewangan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Boost Bank, Fozia Amanulla, ia menjadi bank digital pertama yang membolehkan pembukaan akaun menerusi aplikasi e-dompet Boost.

“Boost Bank memberi peluang kepada pengguna yang tidak mempunyai akaun bank untuk membuka akaun secara digital dengan hanya menggunakan kad pengenalan serta pengesahan gambar tanpa perlu ada rujukan.

“Pendekatan tersebut selari dengan misi utama kami untuk merapatkan jurang segmen masyarakat yang kurang mendapat perhatian atau langsung tidak mendapat perhatian.

“Antara kelebihan yang ditawarkan kepada pengguna termasuk kadar khas istimewa dengan kerjasama rakan kongsi strategik kami,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Boost Bank di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada Khamis.

Fozia memaklumkan, kerjasama antara Boost dan RHB Banking Group (RHB) menjadikan ia yang pertama di pasaran menggabungkan pendekatan fintech berinovasi kepercayaan dan kestabilan institusi kewangan.

Menvulas lanjut, beliau berkata, sinergi tersebut membolehkan pihaknya merealisasikan produk perbankan digital berteknologi tinggi, inovatif dan unik.

“Dengan kombinasi kepakaran antara Boost dan RHB, Boost Bank mempunyai kelebihan untuk meneraju potensi penuh ’embeded ranking’ sekali gus menampilkan ekosistem tersendiri.

“Manfaatnya, ia membolehkan pembayaran dibuat secara langsung melalui aplikasi e-dagang tanpa perlu mengakses aplikasi Boost Bank.

“Kami mahu memastikan perkhidmatan kewangan bukan sahaja mudah di akses tetapi juga selamat, boleh dipercayai dengan ciri-ciri keselamatan serta perlindungan data yang menyeluruh,” jelasnya.

Boost Bank oleh Axiata dan RHB mendapat kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kewangan menjadi perintis ‘embedded banking’ yang serasi dan sesuai dengan rutin harian penduduk Malaysia.

PALING POPULAR

To Top