Umum

Aeon Bank jadi Bank Digital Islam pertama di Malaysia

Aeon Bank (M) Bhd melancarkan bank digital pada hari Ahad, menjadikannya bank digital Islam pertama di Malaysia.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Raja Teh Maimunah Raja Abdul Aziz, bank itu menyasar untuk menawarkan penyelesaian perbankan digital patuh syariah yang selamat, ringkas dan inklusif seperti akaun simpanan, pelan simpanan persaraan, pelbagai pilihan pinjaman dan perkhidmatan pembayaran untuk semua rakyat Malaysia.

“Ini akan membolehkan kami menawarkan perkhidmatan kewangan kepada pelanggan kami secara menyeluruh. Peniagaan kami bertujuan mendekatkan kewangan kepada semua orang, membantu kami mencapai misi kami,” katanya selepas pelancaran bank digital itu.

Beliau berharap dengan berbuat demikian, bank digital itu dapat melakukan analisis kewangan terperinci dan mencapai matlamat rangkuman kewangan.

Ujian beta dalam kalangan tenaga kerja syarikat itu telah berhasil, dengan lebih 1,800 penguji mengambil bahagian selama 12 minggu, katanya.

Raja Teh Maimunah berkata ujian beta itu bertujuan mengenal pasti sebarang perkara yang perlu ditambah baik dan diperbaiki.

“Kami menerima banyak maklum balas yang positif, termasuk mengenai reka bentuk keseluruhan.

“Kami tidak terburu-buru dalam melakukan ujian itu, (dan) kami (juga) melakukan ujian alfa sebelum ujian beta, susulan itu kami tahu cara untuk memastikan kestabilan platform tersebut,” katanya.

Dalam kenyataan, AEON Bank menjelaskan pada masa ini bank itu menawarkan perkhidmatan produk digital perbankan peribadi seperti akaun simpanan-i, Savings Pot dengan ciri pengoptimuman boleh suai, dan alat belanjawan serta banyak lagi yang akan ditawarkan pada masa terdekat.

Menurut bank itu pengguna yang mengaktifkan akaun mereka akan dapat mengakses Kad Debit-i AEON Bank x Visa maya mereka dengan serta-merta dan memohon Kad Debit-i fizikal.

Eksklusif sempena kempen pelancaran awam, pelanggan AEON Bank yang mengaktifkan akaun akan layak menerima bonus pendaftaran sebanyak 3,000 mata Aeon dan 3X mata AEON dengan transaksi menggunakan kad debit-i Aeon Bank x Visa, selain kadar keuntungan 3.88 peratus setahun.

Pelanggan yang merupakan sebahagian daripada Program Mata AEON juga akan dipautkan keahlian secara automatik dengan aplilkasi AEON Bank, yang membolehkan mereka menikmati faedah dan ganjaran tambahan apabila membuat pembayaran di cawangan dan peniaga AEON Group.

Aeon Bank dimiliki bersama AEON Financial Service Ltd dan AEON Credit Service (M) Bhd, kedua-duanya anak syarikat kumpulan peruncit terbesar Jepun, AEON Group.

Selain AEON Bank, konsortium yang diketuai oleh KAF Investment Bank Sdn Bhd turut memperoleh lesen bank digital Islam daripada Bank Negara Malaysia.

Tiga lagi yang memperoleh lesen perbankan digital ialah konsortium Boost Holdings Sdn Bhd dan RHB Bank Bhd; konsortium yang diketuai oleh GXS Bank Pte Ltd dan Kuok Brothers Sdn Bhd; dan konsortium yang diterajui Sea Ltd dan YTL Digital Capital Sdn Bhd.

PALING POPULAR

To Top