Umum

Terima RM200 sebulan, pemilik kenderaan diesel layak boleh mohon Permohonan Program Bantuan Subsidi Madani bermula hari ini

Gambar Hiasan

Pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak boleh membuat permohonan Program Bantuan Subsidi Madani atau Budi Madani bermula hari ini.

Kementerian Kewangan dalam kenyataannya memaklumkan, pemilik kenderaan diesel persendirian berdasarkan kriteria kelayakan tertentu boleh membuat permohonan di bawah kategori Budi Individu, manakala petani kecil dan pekebun kecil boleh memohon di bawah kategori Budi Agri-Komoditi.

“Penerima yang layak di bawah kedua-dua kategori akan disalurkan Budi Madani sebanyak RM200 sebulan seiring dengan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.

“Pelaksanaan ini susulan kenyataan Perutusan Negara oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada minggu lalu berhubung keputusan Jemaah Menteri untuk melaksanakan penyasaran subsidi bahan api diesel melibatkan pengguna di Semenanjung Malaysia,” menurut kenyataan itu hari ini.

Permohonan boleh dibuat secara dalam talian di laman web https://budimadani.gov.my yang akan dibuka sepanjang tahun.

Bagi permohonan yang dibuat dan diluluskan sebelum 3 Jun 2024, pemohon akan menerima Budi Madani pertama mereka menjelang pertengahan Jun 2024, dan bantuan seterusnya akan disalurkan secara bulanan.

Untuk permohonan yang diluluskan selepas 3 Jun 2024 akan menerima Budi Madani pertama dalam tempoh dua minggu dan seterusnya secara bulanan.

Budi Madani akan dikreditkan ke dalam akaun bank penerima setiap bulan, manakala penerima tanpa akaun bank boleh menuntut Budi Madani secara tunai di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) seluruh Semenanjung Malaysia.

 

Kriteria kelayakan bagi kategori BUDI Individu adalah seperti berikut:

1. Pemohon merupakan warganegara Malaysia;

2. Memiliki kenderaan diesel persendirian yang berdaftar dengan JPJ selain kenderaan mewah di bawah usia 10 tahun;

3. Kenderaan dimiliki mempunyai cukai jalan yang aktif;

4. Pendapatan tahunan individu atau pasangan RM100,000 dan ke bawah.

Setiap permohonan yang diterima akan disemak silang dengan data di bawah Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) bagi mengecualikan pemilik kenderaan mewah di bawah usia 10 tahun dan individu berpendapatan tinggi (T20).

 

Kriteria kelayakan bagi BUDI Agri-Komoditi adalah seperti berikut:

1. Pemohon berdaftar sebagai petani atau pekebun kecil dengan agensi yang berkaitan di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) atau Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK).

2. Pemohon merupakan petani atau pekebun kecil komoditi yang aktif dengan hasil jualan pertanian tahunan antara RM50,000 dan RM300,000.

Untuk memohon dan mengetahui lebih lanjut berhubung syarat-syarat kelayakan Budi Madani, sila layari https://budimadani.gov.my atau boleh menghubungi talian bantuan Budi Madani di nombor 1-800-88-2747 / 03-8882 4565 / 03-8882 4566 atau secara e-mel di alamat [email protected].

Pertanyaan dan maklumat lanjut juga boleh diperolehi di semua pejabat LHDNM seluruh Semenanjung Malaysia

 

 

PALING POPULAR

To Top