Umum

AHB mengumumkan pendapatan 2.50 sen seunit untuk 6 bulan

Pelaburan Hartanah Bhd (PHB) dan Maybank Asset Management Sdn Bhd (MAM) mengumumkan pengagihan pendapatan akhir dana Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) sebanyak 2.5 sen seunit bagi tempoh enam bulan berakhir 30 September 2023.

Dalam satu kenyataan, PHB berkata, pengagihan pendapatan itu membabitkan pembayaran berjumlah RM112 juta kepada kira-kira 73,000 pemegang unitnya.

Pengagihan itu terdiri daripada pendapatan asas sebanyak 2.25 sen seunit dan pengagihan bonus sebanyak 0.25 sen seunit untuk diagihkan kepada 500,000 unit pertama untuk setiap pemegang unit.

Beliau menerangkan pendapatan yang diterima oleh pemegang unit tidak hanya dikecualikan daripada cukai, tetapi ia juga telah dizakatkan.

Pengagihan pendapatan tersebut akan dikreditkan terus ke akaun bank atau akaun unit amanah AHB pada 13 Oktober 2023.

Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PHB, Mohamad Damshal Awang Damit, berkata pengagihan pembayaran dividen yang kompetitif itu adalah bukti keupayaan kumpulan untuk menggerakkan landskap kewangan yang sentiasa berubah dan memberikan pulangan yang konsisten kepada pelabur unit AHB.

Katanya “kami kekal komited untuk mengurus portfolio hartanah AHB dengan teliti dan melaksanakan strategi bertujuan meningkatkan prestasinya.”

“Ini termasuk menyepadukan penyelesaian kewangan berinovasi dalam AHB, membentuk hubungan strategik untuk meluaskan jalinan pengedaran dan memanfaatkan aktiviti alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) untuk mencipta nilai holistik,” tambahnya lagi.

Beliau berkata, pencapaian AHB adalah dedikasi PHB untuk membantu pemegang unit dalam menjana kekayaan melalui pemilikan langsung aset hartanah berkualiti.

Pada April 2023, PHB dan MAM mengumumkan pengagihan pendapatan interim sebanyak 2.20 sen seunit serta pengagihan bonus sebanyak 0.30 sen seunit untuk tempoh enam bulan berakhir 31 Mac 2023.

Secara keseluruhannya, jumlah pengagihan pendapatan AHB bagi tempoh 12 bulan berakhir 30 September 2023 adalah sebanyak 5.0 sen seunit yang membabitkan pembayaran berjumlah RM215 juta.

PALING POPULAR

To Top