Umum

Ahli parlimen Gua Musang isytihar sokong PM

Gambar Facebook

Ahli Parlimen Gua Musang, Datuk Mohd Azizi Abu Naim daripada Perikatan Nasional (PN) telah mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkuatkuasa pada Selasa.

Menurutnya, keputusan itu dibuat bagi memastikan kebajikan penduduk di kawasannya terbela selain terus mendapat pelbagai manfaat termasuk peningkatan kemudahan infrastruktur.

Setelah meneliti dan mendengar pembentangan Belanjawan 2024 oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan dengan matlamat utama untuk memangkinkan pemulihan ekonomi di samping meringankan beban kewangan rakyat, saya selaku Ahli Parlimen Gua Musang mengisytiharkan untuk memberi sokongan penuh kepada kepimpinan Datuk Seri Anwar.

“Saya juga ingin menyatakan sokongan kepada inisiatif-inisiatif Kerajaan mengutamakan kebajikan rakyat negara ini sehingga pilihan raya umum akan datang,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di laman facebooknya pada hari Selasa.

Bagaimanapun, Mohd Azizi menjelaskan, beliau sejujurnya tidak mempunyai niat untuk keluar atau mengkhianati Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), tetapi dibuat demi memastikan Parlimen Gua Musang bergerak seiring dengan pemerintahan kerajaan pusat.

Mohd Azizi merupakan ahli Parlimen daripada Bersatu yang ketiga mengisytiharkan sokongan kepada kepimpinan Anwar berikutan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, diikuti Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman mengambil tindakan sama.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, Mohd Azizi menang dengan majoriti tipis sebanyak 163 undi dengan memperoleh 21,826 undi mengatasi Tengku Razaleigh Hamzah mewakili Barisan Nasional (BN) yang memperoleh 21,663 undi.

PALING POPULAR

To Top