Umum

Kadar kelahiran menurun 2.8 peratus pada suku ketiga

Gambar Hiasan

Perangkaan Demografi dikeluarkan Jabatan Perangkaan (DOSM) hari Selasa menyatakan jumlah kelahiran hidup menurun 2.8% kepada 110,354 kelahiran pada suku ketiga tahun ini berbanding 113,506 kelahiran dalam tempoh sama tahun lepas.

Ketua Perangkawan, Mohd Uzir Mahidin, dalam kenyataan berkata jumlah kelahiran bayi lelaki melebihi perempuan dengan 57,260 orang berbanding 53,094 bayi perempuan.

Menurutnya, Selangor mencatatkan bilangan kelahiran hidup tertinggi dengan 20,648 kelahiran, manakala Labuan merekodkan jumlah terendah dengan hanya 375 kelahiran.

Beliau berkata 46,646 kematian direkodkan pada suku ketiga 2023, menurun 10% berbanding tempoh sama tahun lepas dengan 51,841 kematian.

“Selangor mencatatkan jumlah tertinggi dengan 7,217 kematian, manakala Putrajaya terendah dengan 72 kematian,”ujarnya.

Dari segi umur, katanya jumlah kematian 60 tahun dan ke atas tertinggi, iaitu 32,417 kematian (69.5%), diikuti 41-59 tahun (20.8%), 15-40 tahun (7.2%) dan 0-14 tahun (2.5%).

Beliau berkata penduduk Malaysia dianggarkan seramai 33.5 juta orang pada suku tahun ini, meningkat 1.8% berbanding suku tahun ketiga 2022 (32.9 juta).

Penduduk lelaki meningkat daripada 17.2 juta kepada 17.5 juta, manakala perempuan meningkat daripada 15.7 juta kepada 16 juta bagi tempoh sama.

 

Sumber FMT

PALING POPULAR

To Top