Umum

Ahli parlimen Labuan digantung keahlian dan semua jawatan parti selama 6 tahun

Gambar FB Suhaili Abdul Rahman

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menerusi Jawatankuasa Lembaga Disiplin Bersatu membuat keputusan untuk menggantung keahlian dan semua jawatan Ahli Parlimen Labuan Datuk Suhaili Abdul Rahman bagi tempoh 6 tahun berkuat kuasa hari Selasa.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata perkara tersebut diputuskan hasil mesyuarat jawatankuasa berkenaan yang bersidang hari ini bagi meneliti laporan pelanggaran disiplin dan Perlembagaan oleh Ketua Bahagian Labuan merangkap Ketua Wilayah Persekutuan itu.

“Setelah diteliti dengan sehalusnya segala bukti dokumentasi, keseriusan kesalahan, implikasi serta impak kepada parti dan juga kenyataan media daripada Suhaili bertarikh 30 Okt 2023, Jawatankuasa Lembaga Disiplin mendapati beliau bersalah di bawah Fasal 22.1 (f) Perlembagaan Bersatu,” katanya dalam kenyataan hari Selasa.

Lembaga disiplin bertindak demikian ekoran laporan terhadap Suhaili yang telah mengumumkan sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Mohd Noor.

Sebelum ini, Bersatu menggantung keahlian dan semua jawatan Ahli Parlimen Kuala Kangsar Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid dalam parti itu untuk tempoh 4 tahun.

 

PALING POPULAR

To Top