Umum

Kerajaan umum struktur cukai jalan untuk kenderaan EV bulan depan

Gambar Hiasan

Kerajaan akan mengumumkan struktur cukai jalan atau Lesen Kenderaan Motor (LKM) untuk kenderaan elektrik (EV) bulan depan, yang hanya akan terpakai selepas 2025 selepas berakhirnya tempoh pengecualian cukai jalan kepada kenderaan EV.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook telah menyatakan kerajaan maklum keresahan pemilik kenderaan EV yang bimbang dikenakan cukai jalan lebih tinggi selepas tamat tempoh pengecualian itu.

Menurutnya, kementeriannya telah membentangkan struktur cukai jalan yang lebih kompetitif kepada Pasukan Petugas Khas EV dalam usaha menggalakkan penggunaan kenderaan itu.

“Penggalakan itu diperlukan supaya orang ramai mula menerima penggunaan EV dan ekosistem itu perlu dilaksanakan dan dibangunkan termasuklah sistem pengecasan dan sebagainya dan memang itu antara perkara yang kita sedang ambil tindakan sebagai pendekatan menyeluruh kerajaan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Simposium Rel Antarabangsa pada hari Isnin.

Sebelum ini, kerajaan menerusi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menawarkan insentif Pengecualian Bayaran Fi LKM sepenuhnya untuk kenderaan EV bermula 1 Januari 2022 hingga 31 Disember 2025, yang hanya diberikan kepada kenderaan EV yang menggunakan bateri dan tidak terpakai untuk kenderaan hibrid yang masih mempunyai enjin petrol atau diesel.

PALING POPULAR

To Top