Umum

Akar umbi UMNO lapor polis cubaan kedua Zahid tipu Agong

Sekumpulan akar umbi UMNO hari ini membuat laporan polis terhadap Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi susulan dakwaan menipu Yang di-Pertuan Agong selepas tular surat menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri (PM).

Laporan itu dibuat di Balai Polis Presint 7, Putrajaya petang ini oleh wakil akar umbi UMNO itu Datuk Tun Faisal Ismail Aziz yang juga bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya.

Beliau yang ditemui media di luar balai polis berkenaan berkata laporan itu dibuat susulan surat yang tersebar di media sosial dan dikongsi bekas Setiausaha Agung BN Tan Sri Annuar Musa, yang mengatakan 30 ahli Parlimen (MP) BN menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Katanya surat itu diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan didakwa surat itu adalah merupakan hasil daripada keputusan mesyuarat Dewan Tertinggi BN semalam (22 November 2022).

“Bagaimanapun setelah diteliti didapati bahawa Dewan Tertinggi BN tidak membuat apa-apa keputusan menyokong mana-mana pihak dan mengambil pendirian berkecuali.

“Malam tadi Dewan Tertinggi BN ada buat mesyuarat tetapi tiada keputusan memihak dan berlaku kekecohan. Jadi hari ini, surat itu dibangkitkan oleh Tan Sri Annuar, sebagai cubaan menipu Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Tun Faisal berkata beliau juga diberitahu bahawa Presiden MIC Tan Sri SA Vigneswaran dan Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woo mengesah ketulenan surat itu, tetapi menafikan isi kandungan bahawa 30 MP BN menyokong Anwar.

Sebab itu, katanya beliau membuat laporan polis supaya siasatan cubaan menipu dan menghina Yang di-Pertuan Agong.

“Kali pertama Zahid melakukannya dulu (2020) kita tak buat laporan polis, tetapi ini adalah kali kedua dan laporan polis dibuat supaya sekurang-kurangnya siasatan dapat dijalankan,” katanya.

Sumber: Agenda Daily

PALING POPULAR

To Top