Umum

Pendedahan: Zahid dibawa keluar dari kekecohan mesyuarat selepas ditekan ahli Parlimen BN berhubung surat kepada istana

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi terpaksa “diselamatkan” oleh sekumpulan pemimpin yang bersekutu dengannya semasa mesyuarat bersama ahli Parlimen gabungan bertukar kecoh malam tadi, MalaysiaNow boleh mendedahkan berdasarkan pengakuan saksi.

Sekurang-kurangnya dua ahli Parlimen yang hadir dalam mesyuarat itu berkata Zahid – yang kini berdepan gesaan supaya meletakkan jawatan sebagai presiden Umno dan pengerusi BN berikutan kekalahan teruk gabungan itu pada pilihan raya umum Sabtu lalu – terpaksa dibawa keluar dari bilik mesyuarat di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur memandangkan keadaan tidak lagi “terkawal”.

“Kami minta mesyuarat dibuat selepas mendapat tahu Zahid menghantar surat kepada istana mendakwa kami semua sokong Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri. 

“Ia adalah satu pembohongan secara terang-terangan,” kata salah seorang ahli Parlimen yang hadir kepada MalaysiaNow dengan syarat namanya tidak disiarkan.

Zahid menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong, mendakwa beliau mempunyai kata putus dalam menetapkan siapakah ahli Parlimen yang perlu disokong gabungan itu sebagai perdana menteri.

Dalam surat yang tertera logo BN itu, Zahid mendakwa beliau mewakili gabungan itu memberikan sokongan 30 ahli Parlimen kepada Anwar, mengatakan ia adalah berdasarkan “mandat” yang diberikan kepadanya sebagai pengerusi BN.

Surat itu dipercayai diserahkan kepada pihak Istana Negara semalam sebelum ketua gabungan politik mengadap Agong di Istana Negara.

Surat Zahid itu juga dilihat bercanggah dengan kenyataan BN sebelum ini bahawa ia akan kekal berkecuali dalam persaingan merebut jawatan tertinggi antara Anwar dan Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin.

Difahamkan, kira-kira 20 ahli Parlimen memberi sokongan kepada Muhyiddin melalui akuan berkanun (SD), menjadikan beliau mempunyai majoriti diperlukan bagi membentuk kerajaan. 

Bagaimanapun, susulan sesi mengadap bersama Anwar dan Muhyiddin semalam, Agong menitahkan semua ahli Parlimen BN mengadap hari ini untuk mengesahkan pendirian mereka.

Seorang ahli Parlimen Umno memberitahu MalaysiaNow ketika mengetahui Zahid menyerahkan sokongan ahli Parlimen BN kepada Anwar tanpa persetujuan mereka, mereka mengadakan pertemuan untuk menuntut beliau meletak jawatan.

“Ia adalah satu keadaan yang sangat tegang. Apabila perbincangan mengenai penyingkirannya mula dibangkitkan secara lantang, beberapa rakan Zahid tiba-tiba muncul entah dari mana dan membawanya keluar dari bilik. Beliau larikan diri!” tambahnya.

Beliau berkata berikutan apa yang berlaku malam tadi, ahli Parlimen BN meminta lebih banyak masa dari istana.

“Kami mahu selesaikan kemelut yang kami hadapi.

Sekarang ini, Zahid terus membuat keputusan sewenang-wenangnya tanpa sebarang rundingan.

Malah beliau menipu istana,” tambahnya.

Dihubungi oleh MalaysiaNow, beberapa ahli Parlimen BN mengesahkan bahawa “satu insiden” berlaku malam tadi.

“Mengecewakan,” kata satu maklum balas ringkas dari Presiden MIC SA Vigneswaran.

Dalam pada itu, Presiden MCA Wee Ka Siong membidas Zahid kerana bertindak tanpa konsensus BN.

“Pada mulanya beliau (Zahid) cuba menafikan mengenai surat tersebut, namun mengakuinya selepas salah seorang anggota Dewan Tertinggi BN mengemukakan bukti sahih. 

“Surat yang diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong itu secara jelas melanggar ketetapan yang dibuat oleh Dewan Tertinggi BN dan dilihat mempersembahkan maklumat salah kepada Yang di-Pertuan Agong,” kata Wee dalam satu kenyataan.

Sumber: Agenda Daily

PALING POPULAR

To Top