Umum

Akaun Aman Palestin dibeku SPRM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan sebanyak 41 akaun bank milik Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) dan beberapa entiti syarikat lain pada Rabu.

Menurut SPRM dalam satu kenyataan, tindakan itu diambil ekoran dakwaan pihak terbabit menyalah guna wang sumbangan orang ramai sejak 17 Oktober 2023.

Kata kenyataan itu, jumlah keseluruhan wang sumbangan orang ramai kepada pihak terlibat adalah sebanyak RM15.86 juta.

“Sebelum ini, SPRM turut membuat penggeledahan di premis Aman Palestin serta memperoleh dokumen-dokumen berkaitan kewangan dan pengurusan operasi bagi tempoh lima tahun terdahulu,” katanya.

“Selain itu, siasatan juga dijalankan bagi mendapatkan keterangan berhubung kesalahan-kesalahan di bawah Akta SPRM 2009, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) dan Kanun Keseksaan (Akta 574),” jelasnya.

Menurutnya, SPRM juga telah merakam beberapa keterangan saksi-saksi penting berhubung kes tersebut.

Tambahnya, hasil siasatan awal telah mengenal pasti beberapa isu melibatkan penyelewengan dana dianggarkan berjumlah RM70 juta yang disalurkan bagi tujuan selain daripada objektif penubuhan syarikat berkenaan.

PALING POPULAR

To Top