Umum

PLKN dijangka mula 2025

Gambar Hiasan

Kementerian Pertahanan memaklumkan program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dijangka bermula semula pada 2025 dan tidak akan dilaksanakan pada 2024.

Menurut Menterinya, Datuk Seri Mohamad Hasan, ini kerana peruntukan untuk melaksanakan program itu tidak dimasukkan dalam Belanjawan 2024 yang dibentangkan pada 13 Oktober lalu.

“Kemungkinan PLKN ini untuk laksana semula pada 2024 memang tak ada kerana tidak dibajetkan pun. Kalau kita nak menggunakan kem-kem wataniah, sepertimana yang saya sebut sebelum ini, kita memerlukan naik taraf dulu kem tersebut secara ‘one-off’.

“Ada 13 kem wataniah di seluruh negara. Jadi perincian mekanisme pelaksanaannya, kementerian akan bersama-sama dengan semua pemegang taruh terutamanya pihak NGO, masyarakat dan yang lain sebelum kita memuktamadkan dan mendapat kelulusan untuk menghidupkan dan meneruskan PLKN, mungkin pada tahun 2025,” katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pertahanan.

Jelas beliau, pelbagai pilihan telah dikaji termasuk cadangan agar melibatkan penyertaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Pada 31 Oktober lalu, Mohamad dilaporkan berkata, PLKN akan dilaksanakan menerusi dua fasa.

PALING POPULAR

To Top