Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sekali lagi mengulangi kecamannya terhadap Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang dianggapnya tidak membantu dalam usaha kerajaan memulihkan keadaan negara selepas penularan Covid-19.
Bagaimanapun, rakyat tertanya-tanya juga apa jasa Presiden UMNO itu dalam membantu usaha memulihkan negara selain hanya pandai mendesak pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) disegerakan dan berkomplot dengan cikgunya menjatuhkan kerajaan?
Atau adakah Zahid sebenarnya dengki melihat peranan dan sumbangan diberikan Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tidak menerima elaun atau gaji sepanjang memegang jawatan dalam sebuah badan yang ditubuhkan oleh kerajaan tersebut?
Zahid dengan sikap angkuhnya semalam berkata jika UMNO dan Barisan Nasional (BN) menjadi kerajaan semula, mereka akan bertindak memansuhkan MPN serta-merta, begitu yakin beliau kemenangan selesa akan diperoleh selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) nanti.
Kesilapan besar yang dibangkitkan Zahid dengan mendakwa kononnya MPN gagal dalam menasihat kerajaan ke arah pemulihan negara, tetapi perkara yang tidak disentuhnya bagaimana MPN berperanan sebagai sebuah badan penting menjadi garis panduan kepada kerajaan dalam melaksakan usaha-usaha pemulihan negara.
Pendedahan Muhyiddin baru-baru ini hanya 16 daripada 69 perakuan berkaitan isu utama yang diusulkan majlis itu, dilaksanakan kerajaan dilihat sebagai agak mengejutkan kerana memperlihatkan sikap kerajaan sendiri yang tidak mengambil serius terhadap nasihat yang diberikan.
Sebagai contoh isu pembukaan sempadan negara dan juga syor mengisytiharkan fasa peralihan daripada pandemik kepada endemik, ia mengambil sedikit masa untuk dilaksanakan kerajaan walhal MPN terlebih dahulu memberi syor tersebut kepada kerajaan.
Bahkan dalam isu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang memberi kebenaran pengeluaran khas sekali lagi, itu pun dibuat semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor selepas Muhyiddin membangkitkan herhubung kesempitan rakyat ekoran kesan daripada penularan Covid-19.
Namun, bagi Zahid semua kerajaan adalah gagal dan yang tidak gagal hanya kerajaan UMNO.
Walaupun ketika ini petunjuk utama ekonomi negara tidak positif dan nilai ringgit jatuh serta inflasi meningkat sejak Perdana Menteri UMNO mengambil alih tampuk pemerintahan, itu pun Zahid masih kata MPN yang gagal.
Kenapa pula Zahid tidak menarik sokongan seperti yang dilakukannya sebelum ini dengan cikgunya, Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun sudah jelas menunjukkan kegagalan kerajaan yang dipimpin UNO itu sendiri.
Atau adakah Zahid sudah terlupa nombor telefon cikgunya untuk menelefon dan mendapatkan nasihat seperti sebelum ini?
Selain hanya pandai memberi pandangan mengkritik dan menghentam MPN, rakyat juga tertanya-tanya apakah nasihat yang Zahid berikan kepada kerajaan sepanjang tempoh ini ke arah membantu pemulihan negara selain hanya berani mahu meredah banjir untuk berkempen semasa PRU-15 nanti.
Mungkinkah Zahid hanya pandai bercakap retorik politik dan sangat teruja untuk naik sampan bagi berkempen semasa musim banjir tanpa menghiraukan kesusahan rakyat?
Sumber: Agenda Daily