Umum

Bekalan telur terhad jejaskan peniaga, pengguna

KEBELAKANGAN ini, kebimbangan terus menghantui peniaga akibat bekalan telur ayam yang terhad sehingga perlu dicatu berikutan permintaan tinggi.

Menerusi tinjauan SatuBerita di sekitar Bandar Tun Razak Cheras, rata – rata peniaga mengalami sedikit kesusahan untuk mendapatkan bekalan telur ayam sehingga ada pembekal yang terpaksa mengehadkan stok biarpun permintaan terus meningkat daripada pelanggan.

Bagi seorang pengusaha kedai makan, Hazli Hassan, 46 berkata sekiranya bekalan telur terus terhad Ia akan memberi lebih banyak masalah biarpun sekarang ada pembekal yang mengehadkan jumlah tertentu kepada peniaga.

“Jika bekalan telur terus terjejas, masalah besar.Kalau catu, pembekal akan hadkan kepada 30 hingga 60 biji seorang. Agak ‘perit’ juga kerana saya banyak guna telur dalam menu seperti telur bungkus. Sedikit sebanyak akan jejaskan operasi kedai,” katanya.

Pembantu kedai makan, Dahir Ahmad 49, berkata dia turut terkesan dengan isu bekalan telur yang terhad sehingga perlu bergerak ke tempat lain bagi mendapatkan stok untuk berniaga biarpun hanya memperolehi telur gred biasa.

“Dalam dua tiga hari ini memang bekalan telur terputus termasuk di pasaraya besar. Macam hari ini, saya dapatkan telur di Sungai Besi, itu pun gred C. Saya ambil sahaja sebab di sini memang susah mahu dapat dan tidak tahu sampai bila,” katanya.

Sementara itu, seorang peniaga Sharifahi Ashikin 35, turut akui bahawa dia terpaksa dapatkan bekalan telur sebaik sahaja stok baharu sampai kerana pernigaannya akan terjejas akibat keperluan telur ayam yang sangat tinggi.

“kalau dapat pun stok yang betul baru sampai dan saya ambil terus mana yang sempat sebelum habis. Maksudnya kalau ada saya akan ambil banyak terus, kalau tidak memang susah nak berniaga.


Satu hari saya pakai dalam empat papan sebab saya jual Roti John, jadi telur sangat penting dan perlu. Saya akan cari dan buat stok siap –siap sebab permintaan pelanggan tinggi tapi bekalan terhad”, luahnya.

Menurut seorang lagi pengusaha kedai Rizal Isnin 44, pembekal akan menghantar bekalan telur ke kedainya namun jika stok terhad mereka akan memberi keutamaan kepada golongan peniaga.

“Saya ada kedai runcit dan biasanya pembekal akan hantar telur dekat kedai. Kadar permintaan telur pun tinggi, jadi kalau bekalan terhad, memang kami akan simpan stok untuk diutamakan kepada peniaga dahulu sebab mereka gunakan banyak telur”.

Terdahulu pada Selasa,media melaporkan kerajaan menetapkan harga siling telur ayam Gred A, pada 45 sen sebiji, Gred B, (43 sen) dan Gred C (41 sen) sejak 1 Julai.

Sumber: Satu Berita

PALING POPULAR

To Top