Umum

Kerajaan perlu wujudkan mekanisme pantau, nilai pelaksanaan syor MPN

Kerajaan dicadang supaya mewujudkan satu mekanisme bagi memantau dan menilai pelaksanaan perakuan dibawa oleh Majlis Pemulihan Negara (MPN).

Profesor Kehormat Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Prof Datuk Dr Madeline Berma, berkata ini kerana kerajaan perlu meningkatkan lagi usaha bagi melaksanakan perakuan yang dibawa MPN susulan hanya 16 daripada 69 selesai dilaksanakan kerajaan.

“MPN sedar ekonomi negara perlu dipulihkan dengan cepat akibat penutupan ekonomi akibat penularan Covid-19 dan pemulihan ekonomi negara dalam jangka pendek memerlukan pekerja asing.

“Kerajaan perlu mempercepatkan usaha menyelesaikan masalah kekurangan pekerja asing di pelbagai sektor, khususnya dalam sektor pembinaan, pembuatan dan perladangan.

“Malaysia perlu strategi ampuh. Dalam jangkamasa pendek, negara masih memerlukan pekerja asing dalam sektor ekonomi tertentu, terutama dalam situasi negara sedang berada dalam fasa pemulihan,” katanya menurut BH.

Dalam kenyataan hari ini, Madeline yang juga Felo Kehormat Institut Masa Depan Malaysia (MASA), berkata kerajaan perlu berusaha mendapatkan pekerja daripada negara selain daripada Bangladesh dan Indonesia, selain melanjutkan permit kepada pekerja asing sedia ada.

Beliau berkata, Kementerian Sumber Manusia juga perlu bekerjasama dengan majikan untuk mempermudahkan urusan kuota dan proses permohonan membawa pekerja asing masuk untuk mengurangkan ‘defisit keyakinan’ kepada kementerian terbabit.

“Pengambilan pekerja asing sepatutnya penyelesaian interim kepada peningkatan permintaan untuk buruh kurang mahir dan separuh mahir…buruh asing, bukan penyelesaian jangka panjang,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, majlis itu tidak mempunyai kuasa pelaksanaan terhadap 95 perakuan yang diputuskan dalam mesyuarat bulanannya sejak tahun lalu.

Sebaliknya, kuasa berkenaan terletak pada Perdana Menteri dan Kabinet.

Sumber: Agenda Daily

PALING POPULAR

To Top