Umum

Australia rampas heroin RM789 juta dari Malaysia – PDRM

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan pihak berkuasa Australia merampas 336 kilogram (kg) heroin dalam sebuah kontena penghantaran dari Malaysia ke Brisbane pada 13 Mac lalu.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, dadah tersebut dianggarkan bernilai AUD268.8 juta (RM789.56 juta).

“Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman sedang menjalankan siasatan dengan berpandukan maklumat yang diterima daripada pihak Polis Persekutuan Australia (AFP) sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Pada Isnin, media melaporkan AFP dalam kenyataan minggu lalu berkata, Pasukan Sempadan Australia (ABF) berjaya mengesan dadah berkenaan disorok dalam dua blok konkrit simen, masing-masing seberat 500 kg.

Katanya, semakan mendapati penghantaran itu diisytiharkan sebagai aksesori panel solar sebagai antara konsainan dalam kontena berkenaan yang tiba pada 13 Mac lalu di Pelabuhan Brisbane dari Malaysia.

Pegawai ABF yang memeriksa kontena berjaya mengesan ratusan bungkusan tersembunyi di dalam blok konkrit simen berkenaan dan keputusan ujian ke atas bahan dalam bungkusan terbabit positif dadah jenis heroin.

Penyiasat AFP dan pegawai ABF kemudian menggerudi sehingga bahagian dalam blok konkrit dan berjaya mengeluarkan 960 bungkusan, setiap satu mengandungi kira-kira 350 gram heroin.

Menurut kenyataan itu, pihak berkuasa mengeluarkan kesemua bungkusan heroin dari blok konkrit berkenaan sebelum meneruskan menghantar konsainan ke alamat terletak di Brendale, utara Brisbane pada 28 Mac lalu.

Pada 29 Mac lalu, risikan mendapati konsainan itu diambil oleh seorang lelaki tempatan menggunakan trak yang disewa menuju ke Sydney sebelum ia diturunkan di sebuah bangsal industri di Mount Druitt pada 30 Mac.

Lelaki berusia 55 tahun itu kembali semula ke bangsal itu bersama alat pemotong industri untuk mengeluarkan bungkusan dadah dalam blok konkrit berkenaan sebelum ditangkap.

Susulan itu, AFP melakukan siri penggeledahan di beberapa premis perniagaan dan kediaman di New South Wales dan Queensland serta merampas pelbagai barangan berharga termasuk barang kemas bernilai AUD700,000 (RM2.05 juta).

Rampasan heroin seberat 336 kg heroin ini adalah yang kedua terbesar pernah direkodkan AFP dan ABF dengan rampasan terbesar heroin seberat 450 kg direkodkan di Melbourne pada 2021.

Sumber: Sinar Harian

PALING POPULAR

To Top