Umum

Benarkan kumpulan restoran import terus bahan mentah, kerajaan digesa

Sebuah kumpulan mewakili restoran India menggesa kerajaan mengeluarkan lesen untuk mereka mengimport terus bahan makanan mentah dalam usaha mengurangkan harga makanan.

J Suresh dari Persatuan Pemilik Restoran India Malaysia (Primas) berkata, restoran yang menyertai skim Menu Rahmah baru-baru ini mengalami kerugian akibat bahan mentah mahal seperti ayam dan telur, selepas menjual set makanan pada harga RM5.

“Orang ramai mengadu harga makanan melambung, tetapi kami (restoran) tidak patut dipersalahkan,” katanya kepada FMT.

“Kami terpaksa membayar harga lebih tinggi untuk bekalan bahan makanan mentah yang melalui beberapa pihak. Kenapa bahan itu tidak boleh dihantar terus kepada kami?

“Primas boleh mengagihkan bahan mentah itu kepada restoran ahli, khasnya mereka yang menyertai skim Menu Rahmah. Ini akan membolehkan restoran mengurangkan harga makanan mereka.”

Baru-baru ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Salahuddin Ayub dilaporkan berkata, kementeriannya akan menjalankan kajian untuk memperhalusi insentif kepada pengusaha makanan terbabit dalam inisiatif Menu Rahmah.

Beliau dipetik Bernama sebagai berkata, kajian itu akan dijalankan selepas Hari Raya.

Jawahar Ali Taib Khan, presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) mencadangkan kerajaan memberi insentif kepada restoran yang menyertai skim makanan mampu milik dengan membenarkan mereka menggunakan minyak masak bersubsidi.

Katanya, kerajaan boleh memperuntukkan kuota minyak masak bersubsidi yang boleh digunakan restoran berkenaan dan insentif ini boleh dianggap tanda penghargaan kepada restoran menyertai skim itu.

Ketika ini, restoran dilarang menggunakan minyak masak bersubsidi paket plastik, yang dijual pada harga RM2.50 sebungkus.

Jawahar berkata, kerajaan perlu mencari idea untuk memberi subsidi kepada pemborong yang membekalkan bahan mentah kepada restoran terbabit.

“Tetapi, mereka juga perlu mengkaji cara mengelakkan sebarang subsidi itu disalahgunakan dan menjadi beban kewangan kerajaan,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, kerajaan juga patut mempertimbangkan pengeluaran sijil kepada perniagaan menyertai skim itu sebagai insentif untuk memastikan penyertaan mereka dalam jangka panjang.

Katanya, skim sukarela itu meningkatkan perniagaan kira-kira 30% daripada 10,000 perniagaan ahlinya.

“Pelanggan ke restoran bukan hanya kerana mereka menjual hidangan Menu Rahmah, tetapi kerana perniagaan ini menyokong skim bermakna ini.”

Sumber: FMT

PALING POPULAR

To Top