Umum

Azmin ulangi: Saya bukan pengkhianat

Calon PN Hulu Kelang, Mohamed Azmin Ali berkata dirinya bukan seorang pengkhianat.

Sebaliknya, kata Azmin pengkhianat sebenar ialah orang yang berjanji untuk menurunkan harga petrol tetapi tidak melakukannya.

Walaupun dia tidak menyebut nama, difahamkan Azmin merujuk kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Yang mana saya khianat, yang mana saya lari? Yang lari tu yang lari dari Permatang Pauh pergi (bertanding) di Port Dickson.

“Saya bukan pengkhianat. Bila saya tak sokong dia, dia kata saya pengkhianat.

“Yang pengkhianat tu yang janji nak turun (harga) minyak, tak buat. Yang nak lawan kleptokrat, tapi akhirnya jadi nombor dua,” katanya ketika berceramah di Kampung Kemensah, Hulu Kelang, malam ini.

Ini bukan kali pertama Azmin tampil mempertahankan dirinya yang dilabel pengkhianat itu.

Pada masa lalu, Azmin pernah mengungkit “Langkah Kajang” yang didakwa bertujuan mencatur Anwar sebagai menteri besar Selangor pada 2014 dan “Langkah Port Dickson” untuk mencapai cita-cita presiden PKR itu menjadi perdana menteri.

Azmin, sering digelar “pengkhianat” oleh penyokong PH kerana peranannya dalam Langkah Sheraton menyebabkan kerajaan PH tumbang pada 2020.

Ketika itu, keputusan Bersatu dan 10 ahli parlimen PKR yang diketuai Azmin berpaling tadah daripada PH pada Februari 2020 meruntuhkan pentadbiran PH dan membuka jalan untuk Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri.

Sumber: Malaysiakini

PALING POPULAR

To Top