Umum

Bekalan telur tak cukup, bos Mydin gesa tindakan diambil segera

Pengusaha rangkaian pasar raya besar menyuarakan kebimbangan mengenai masalah kekurangan bekalan telur di pasaran, menggesa tindakan segera diambil untuk menyelesaikan masalah itu.

“Kami telah semak di lapangan, di pelbagai pasar raya dan pasar raya besar di seluruh negara. Setakat 10 pagi, di mana-mana rak (telur) kosong,” kata Ameer Ali Mydin kepada FMT.

Beliau berkata, orang ramai mendakwa isu kekurangan telur telah selesai berikutan perubahan kerajaan, dengan gambar menunjukkan bekalan telur yang banyak di pasar raya menjadi tular.

“Orang ramai tak boleh harap keajaiban berlaku. Saya pasti Datuk Seri Anwar (Ibrahim) maklum tentang kekurangan (bekalan telur) dan sedang menanganinya,” katanya.

“Pengeluar memberitahu kami, masalah kos pengeluaran lebih tinggi daripada harga siling telur yang ditetapkan menjadi punca kekurangan (bekalan).

Sebelum ini dilaporkan bahawa harga siling telur di Semenanjung Malaysia ialah 45 sen bagi Gred A, 43 sen (Gred B) dan 41 sen (Gred C).

Bagi Langkawi, Sabah, Sarawak dan Labuan pula, harga siling berbeza mengikut zon dan daerah.

Ameer, pengarah urusan Mydin, berkata kerajaan perlu memansuhkan harga siling bagi telur.

“Jika kerajaan mahu kekalkan harga siling, maka patut pertimbang larang eksport telur ke Singapura dan Hong Kong bagi memastikan bekalan berterusan bagi pasaran tempatan,” katanya.

Beliau khuatir masa sudah suntuk bagi negara untuk menyelesaikan masalah kekurangan bekalan telur ini.

“(Perayaan) Krismas sudah hampir, Tahun Baharu Cina pada Januari. Hari Raya pula pada April, ini bermaksud penjual biskut raya akan mula membuatnya pada Januari.

“Jika masalah kekurangan bekalan telur berterusan, kita akan alami kekurangan bekalan biskut juga, dan harga akan naik,” katanya.

Sumber: FMT Malaysia

PALING POPULAR

To Top