Umum

Bekas Setiausaha Politik Mat Sabu bebas 7 pertuduhan rasuah

Gambar FMT

Bekas setiausaha politik kepada bekas menteri pertahanan (Mohamad Sabu) dilepaskan dan dibebaskan daripada tujuh pertuduhan meminta dan menerima rasuah melebihi RM6.48 juta oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Perkara itu disahkan peguam Haijan Omar mewakili Mohd Azhar Che Mat Dali, 53, selepas diputuskan Hakim Rozina Ayob, pada Jumaat lalu.

“Saya sahkan mahkamah melepas dan membebaskan anak guam saya daripada tujuh pertuduhan itu. Itu sahaja saya boleh sahkan,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Menurut laporan FMT, difahamkan pihak pendakwaan membuat keputusan menarik balik kes terhadap Azhar, dan pembebasannya itu bermakna dia tidak lagi boleh didakwa atas kesalahan sama.

Pada 15 Okt 2020, bekas setiausaha politik itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur atas satu pertuduhan meminta suapan RM5 juta daripada Pengarah Urusan Syarikat FEHM Entity Sdn Bhd, Elias Jemadi Tajudin.

Suapan itu sebagai upah membantu syarikat itu untuk dipilih menjadi rakan strategik dan kontraktor senggaraan bagi peralatan perisikan Sistem Prisma Direktorat Peperangan Informasi (DPI), Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) Kementerian Pertahanan.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah hotel di Jalan Ampang, Kampung Baru, Kuala Lumpur, pada 22 Julai 2019.

Azhar juga didakwa atas empat pertuduhan menerima suapan berjumlah RM1.35 juta daripada Elias Jemadi melalui Pengarah Syarikat Ikaira Resources, Zainudin Abdul Majid dan Pengarah Syarikat Aqsa Solutions Sdn. Bhd., Ahmad Hisham Mohd Tajuddin bagi tujuan sama.

Lelaki itu dituduh melakukan kesalahan tersebut di beberapa lokasi di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya, antaranya di parkir kediaman rasmi menteri pertahanan di Kuala Lumpur, antara September 2019 dan Februari 2020.

Di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 23 Okt 2020, Azhar mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan menerima suapan RM130,000 daripada Elias Jemadi dan Zainudin bagi tujuan berkenaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dan Kota Damansara, Petaling Jaya, pada 2019.

Semua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tujuh pertuduhan itu dibicarakan bersama di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

 

 

Sumber FMT

PALING POPULAR

To Top