Umum

Bicara kes saman 1MDB terhadap Riza Aziz bermula Oktober 2024

Perbicaraan kes saman 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan tiga subsidiarinya terhadap Riza Shahriz Abdul Aziz, anak tiri Datuk Seri Najib Tun Razak atas dakwaan salah guna dana berjumlah US$250 juta bagi membiayai penerbitan filem serta membeli hartanah, akan bermula 16 Okt tahun depan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Tiga subsidiari 1MDB itu ialah 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited dan 1MDB Energy (Langat) Limited.

Peguam Desmond Low Zhi Jie, yang mewakili Riza Shahriz dan dua syarikatnya, Red Granite Pictures Incorporated dan Red Granite Capital Limited selaku defendan berkata perbicaraan kes saman itu ditetapkan pada 16 hingga 18, 21 hingga 25, 28 Oktober hingga 1 November dan 4 November 2024.

“Kes saman itu akan didengar di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan,” kata peguam itu ketika dihubungi hari ini.

Menurut Low, esok ditetapkan untuk pengurusan kes saman berkenaan. 

Dalam saman yang difailkan pada 7 Mei 2021, 1MDB dan tiga subsidiarinya itu mendakwa pada 2011 dan 2012, Riza Shahriz serta dua syarikatnya menerima dana kira-kira AS$248 juta daripada mereka yang didakwa disalah guna apabila defendan menggunakan dana itu untuk kepentingan peribadi dan kepentingan rakan sekutu mereka, termasuk bagi membiayai penerbitan filem dan pembelian pelbagai harta tanah.

Oleh itu, plantif memohon perisytiharan bahawa Riza Shahriz bertanggungjawab atas salah guna dana itu dan penggunaan dana yang tidak adil serta memohon pembayaran balik dana yang disalahgunakan.

Riza Shahriz dan dua syarikatnya dalam pernyataan pembelaan difailkan pada 25 Oktober 2021, mendakwa memperoleh pinjaman berkenaan daripada keluarga Diraja Arab Saudi atau International Petroleum Investment Company untuk menerbitkan beberapa filem di Amerika Syarikat, bukan daripada dana 1MDB.

Beliau mendakwa sukar bagi penerbit filem yang tidak dikenali untuk memperoleh pinjaman daripada bank, oleh sebab itu beliau memutuskan untuk mendapatkan pinjaman daripada individu atau syarikat.

Sumber: MalaysiaNow

PALING POPULAR

To Top