Umum

‘Budak pandu kereta itu bukan anak saya’- Bapa

Seorang pengguna TikTok tampil menafikan kanak-kanak berumur enam tahun yang terlibat kemalangan di Langkawi pada Selasa lalu adalah anaknya.

Menerusi hantaran di laman media sosial itu, Izanie QY Runner menjelaskan, video yang memaparkan seorang kanak-kanak sedang memandu simulator kereta lumba yang diviralkan di laman media sosial lain merupakan anaknya dan tiada kaitan dengan kes kemalangan berkenaan.

“Budak ini ke (merujuk kepada video anaknya bermain simulator kereta lumba). Kalau awak cakap budak ini (bermakna) awak dah fitnah,” tulisnya di ruangan kapsyen video berkenaan.

Lelaki itu dipercayai tampil menjelaskan perkara berkenaan susulan segelintir warganet mengaitkan anak lelakinya dengan kes kemalangan membabitkan kanak-kanak enam tahun yang memandu sehingga terlibat kemalangan.

Sementara itu melihat profil akaun TikTok berkenaan, lelaki itu dipercayai seorang pelumba drift yang aktif dalam bidang permotoran tempatan dan turut mendedahkan anak lelakinya kepada bidang tersebut.

Sebelum ini media melaporkan, dua beradik ditemukan orang awam di dalam sebuah kereta jenis Toyota selepas terbabas dan melanggar tiang lampu di Jalan Bukit Tangga, Simpang Kenyum, Langkawi pada jam 11.15 malam Selasa.

Dalam kejadian itu, kanak-kanak berusia enam tahun mengalami kecederaan luka di bahagian dagu manakala adiknya tidak mengalami sebarang kecederaan. — Sinar Harian

PALING POPULAR

To Top