Umum

Elak jadi mangsa scammer, waspada wakil tabung solidariti

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengingatkan semua untuk terus berwaspada dan sentiasa menyemak kesahihan tabung sumbangan solidariti rakyat Palestin.

Menurut laporan media, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata ia adalah bagi mengelakkan orang ramai daripada menjadi mangsa scammer.

“Semua lapisan masyarakat yang ingin menyalurkan sebarang bentuk bantuan dinasihat agar menyemak kesahihan wakil menguruskan sumbangan serta mengambil langkah teliti demi mengelak daripada menjadi mangsa scammer,” jelas beliau.

Dalam kenyataan pada hari Jumaat, Ketua Polis Negara menyatakan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) akan meningkatkan pemantauan serta mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat pihak dikesan cuba mengambil kesempatan.

PDRM juga ingin menasihatkan agar orang ramai tidak membuat pergerakan ke kawasan konflik atas faktor keselamatan.

Katanya lagi, polis memantau rapi aspek ini dan telah menggerakkan elemen-elemen berkaitan khususnya cawangan khas dalam memastikan tiada rakyat Malaysia yang terlibat sehingga mewujudkan risiko keselamatan diri.

Sehubungan itu, pihak polis juga menggesa rakyat Malaysia untuk menggunakan saluran dan medium aman sejahtera dalam menyuarakan solidariti kepada rakyat Palestin yang ditindas.

“Polis akan mengambil langkah-langkah untuk memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan atas belas ihsan rakyat Malaysia serta memastikan keselamatan rakyat dalam usaha memberikan sokongan kepada rakyat Palestin,” katanya

PALING POPULAR

To Top