Umum

Cuba ceroboh Istana Negara, 2 lelaki ditahan

Gambar Facebook

Polis menahan 2 lelaki warga tempatan selepas didapati cuba menceroboh kawasan Istana Negara, Kuala Lumpur dengan alasan untuk berjumpa Yang di-Pertuan Agong, pada hari Jumaat.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa memaklumkan, dua lelaki yang ditahan kerana percubaan menceroboh Istana Negara itu masing-masing berusia 29 dan 37 tahun.

Menurut laporan media, Rusdi berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 4.40 petang apabila sebuah kereta jenis Perodua Kembara telah ditahan selepas cuba memasuki Pintu 3, Istana Negara.

Tambahnya, pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan suspek telah menjumpai sebilah parang.

“Susulan pemeriksaan itu, polis telah bertindak menahan dua lelaki tersebut dengan hasil ujian saringan awal air kencing mendapati negatif dadah.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 447/511 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya 1958,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Rusdi memberitahu, kedua-dua suspek telah ditahan reman selama empat hari hingga Selasa ini untuk siasatan lanjut.

Pada masa sama, beliau turut menyeru orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan menyebarkan sesuatu berita yang tidak pasti.

“Sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi talian Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

PALING POPULAR

To Top