Umum

DAP desak KDN bebas semua tahanan SOSMA

Baharu sahaja menjadi Kerajaan Pusat dengan sokongan UMNO, DAP terus mendesak supaya semua tahanan undang-undang Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dibebaskan serta-merta.

SOSMA digubal bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) itu dikuatkuasakan ketika pemerintahan UMNO di bawah pimpinan Perdana Menteri ketika itu Datu Seri Najib Razak.

Desakan itu dibuat Ahli Parlimen (MP) DAP Jelutong, RSN Rayer setelah Menteri Dalam Negeri Kerajaan PH-UMNO, Datuk Seri Saifudin Nasution Ismail bersetuju mengadakan sesi libat urus mengkaji semula SOSMA.

MP DAP itu juga menggesa supaya SOSMA tidak digunakan terhadap mana-mana pihak sehingga sesi libat urus antara kerajaan dan pihak berkepentingan diadakan.

“Akhir sekali saya berharap bahawa sementara menunggu sesi libat urus ini diadakan semua tahanan bawah SOSMA perlu dihentikan dengan serta-merta dan mana-mana individu yang telah pun ditahan sekarang bawah undang-undang ini perlu dibebaskan dengan serta-merta sementara menunggu sesi libat urus ini diadakan,” katanya menurut Mkini.

Timbalan menteri undang-undang Ramkarpal Singh pada 23 Disember lalu berkata kerajaan setuju untuk meneliti beberapa peruntukan dalam SOSMA.

Menurutnya Saifuddin setuju dengan cadangan untuk melakukan libat urus dengan pihak berkepentingan, termasuk pegawai Kementerian Dalam Negeri dan polis.

Dalam kenyataan semalam, Rayer berkata dia mengalu-alukan keputusan Saifudin untuk mengadakan sesi itu bagi mengkaji semula akta yang menerima kritikan meluas itu.

“Saya berharap bahawa sesi libat urus ini akan diadakan dengan segera. Saya juga berharap bahawa peguam-peguam yang terlibat dalam mengendalikan perbicaraan kes-kes SOSMA yang sedang dibicarakan di mahkamah sekarang akan turut dijemput dalam sesi libat urus ini.”

Sebelum itu, tiga MP Pakatan Harapan (PH) termasuk V Ganabatirau dari DAP menyerahkan memorandum kepada Saifuddin bagi menggesa undang-undang itu disemak semula dan agar tahanannya dibenarkan ikat jamin.

Antara yang hadir ketika penyerahan memorandum di luar Parlimen itu adalah keluarga 57 individu yang didakwa anggota “Geng Sakai” dan “Geng 08 GST” yang ditahan di Penjara Sungai Buloh sejak Jun 2021 dan 2022.

Pihak keluarga antara lain meminta Saifuddin menyemak semula peruntukan dalam akta tersebut, yang disifatkan tidak adil dan bertentangan dengan Perlembagaan.

Ganabatirau pernah ditahan tanpa bicara selama 455 hari di bawah ISA.

Sumber: Agenda Daily

PALING POPULAR

To Top