Umum

Zahid tidak mempunyai mandat untuk berunding dengan PH dan desak segera letak jawatan – MB Johor

Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi sekali lagi melemparkan rasa tidak puas hati terhadap UMNO dan Ketua Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kerana didakwa berunding dengan Pakatan Harapan (PH) bagi gabungan membentuk kerajaan persekutuan.

Jelas beliau lagi, jika benar apa yang sedang berlaku antara Zahid dan Pakatan Harapan (PH) bagi menubuhkan kerajaan campuran, ia tidak sah.

“Assalamualaikum dan Salam Maju Johor. Sementara ahli Umno menunggu tindakan berjiwa besar Presiden untuk meletak jawatan dengan kadar yang segera, beliau (Zahid) sebaliknya, kalau betul sebagaimana yang dilaporkan media, sedang sibuk berunding dengan Pakatan Harapan DAP.

“Beliau telah mengetuai kita semua ke medan perang dan disebabkan imejnya antara punca kekalahan teruk BN, tidak sepatutnya mewakili parti untuk berunding dengan mana-mana pihak,” katanya di Facebook.

Justeru, Onn Hafiz yang juga menteri besar Johor sekali lagi mengingatkan bahawa keputusan terakhir Umno adalah tidak akan bekerjasama dengan Anwar Ibrahim dan DAP.

“Marilah kita terus bermaruah dan berprinsip walaupun diuji dengan kekalahan. Insya Allah ada hikmahnya.

“Sekali lagi saya memohon dan merayu agar presiden Umno meletak jawatan secara terhormat pada kadar yang segera,” katanya.

Malam tadi, Zahid dilaporkan berkata, BN tidak pernah sama sekali berunding dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk memberikan persetujuan berhubung penubuhan kerajaan bersama Perikatan Nasional (PN).

Dalam perkembangan terbaharu itu, Zahid dilaporkan berkata, tiada sebarang perundingan dilakukan dengan PN setakat ini, yang boleh membawa maksud kepada adanya persefahaman untuk membentuk kerajaan dengan gabungan berkenaan.

Beliau turut memaklumkan, semua Ahli Parlimen BN yang memenangi PRU15 sudah menandatangani akujanji dan memberi mandat kepada beliau untuk menentukan apa-apa gabungan politik dalam penubuhan kerajaan.

PALING POPULAR

To Top