Umum

Dua maut nahas tak pakai topi keledar

Dua penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Sungai Lalang-Bukit Selambau, dekat sini, malam tadi.

Kedua-dua mangsa yang tidak memakai topi keledar meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada kepala.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, berkata dalam nahas jam 10.40 malam itu, mangsa yang meninggal dunia masing-masing menunggang skuter Yamaha Ego dan Honda Ex5, bertembung ketika melalui jalan berselekoh.

Beliau berkata, penunggang Yamaha Ego berusia 28 tahun dan bekerja sebagai pencuci kereta manakala pembonceng berusia 37 tahun, bekerja sebagai pemandu jentolak, luka pada kaki kanan.

Katanya, penunggang Honda Ex5 yang maut pula berusia 28 tahun dan bekerja sebagai pemandu lori.

Semua mereka berasal dari Bedong, dekat sini.

“Siasatan mendapati skuter dinaiki dua lelaki dalam perjalanan dari Sungai Lalang menuju ke Ambangan Height.

“Skuter terbabit dipercayai ditunggang dengan laju sebelum hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan.

“Skuter yang terbabas bertembung Honda Ex5 ditunggang seorang lelaki menyebabkan kedua-dua penunggang parah pada kepala manakala pembonceng hanya cedera kaki kanan,” katanya.

Adzli berkata, pemeriksaan mendapati semua mangsa tidak memakai topi keledar manakala penunggang skuter didapati tidak memiliki lesen memandu.

“Mayat dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dan bedah siasat akan dijalankan selepas ujian saringan COVID-19.

“Setakat ini, kita menjalankan siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

 

PALING POPULAR

To Top