Umum

Teruja kembali ke sekolah, pelajar janji patuhi SOP

Pelajar Tingkatan Enam Semester Dua yang kembali bersekolah hari ini tetap teruja menjalani sesi pembelajaran secara bersemuka walaupun perlu mematuhi prosedur operasi (SOP) ketat.

Tinjauan BH di Kolej Tingkatan Enam Petaling Jaya (KT6PJ) di sini, mendapati ibu bapa mula menghantar anak masing-masing seawal jam 6.40 pagi dengan pelajar kemudian diarahkan mengimbas kod QR MySejahtera serta suhu badan dengan mematuhi penjarakan fizikal satu meter.

Ketibaan pelajar ke KT6PJ hari ini disambut Pengetua KT6PJ, Ghumiat Kamdi; Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (Sektor Perancangan) Azlina Hussin serta guru-guru penolong kanan.

Selain itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid turut turun padang untuk melakukan pemantauan pada hari pertama pembukaan sekolah di sekolah terbabit, hari ini.

Ghumiat yang ditemui berkata persiapan pembukaan sekolah dibuat sejak seminggu lalu dengan memfokuskan membersihkan kawasan sekolah serta kelas untuk keselesaan pelajar dan guru.

“Seramai 194 pelajar Tingkatan Enam Semester Dua kembali ke sekolah hari ini dan mereka ditempatkan di 14 kelas dengan jumlah maksimum seramai 25 pelajar bagi setiap kelas.

“Bagi kelas yang menampung sehingga 25 pelajar, kita buka dua bilik darjah untuk dijadikan satu kelas dalam memastikan SOP penjarakan fizikal dapat dipenuhi,” katanya.

Dalam pada itu, katanya semua 59 guru yang mengajar Tingkatan Enam juga sudah lengkap divaksin termasuk kakitangan pentadbiran, pengawal keselamatan serta pekerja am.

Menurutnya, sesi persekolahan secara bersemuka ini dimulakan jam 7.30 pagi hingga jam 2 petang berbanding kelas secara Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) bermula jam 8.30 pagi hingga jam 1 tengah hari.

Pelajar, Julia Nathasha Jamal, 19, yang ditemui menyatakan rasa teruja dapat kembali ke sekolah kerana pembelajaran secara bersemuka padanya lebih mudah berbanding PdPR.

“Saya berhadapan beberapa kesulitan ketika sesi PdPR termasuk gangguan talian internet dan suasana yang kurang sesuai untuk pembelajaran apabila berada di rumah.

“Apabila dapat pulang semula ke sekolah, saya dapat bertemu terus dengan guru serta rakan-rakan dan ini memudahkan untuk mengadakan perbincangan berkumpulan berkaitan pelajaran bersama rakan sekelas,” katanya.

Katanya, kembali ke sekolah juga adalah peluang terbaik untuk dirinya serta rakan-rakan untuk membuat persiapan bagi menghadapi peperiksaan semester yang akan bermula 25 Oktober ini.

Rakan sekolahnya, Chiew Rou Yi, 19, turut berkongsi pendapat sama dan gembira dapat kembali menjalani sesi persekolahan secara bersemuka berbanding kelas secara dalam talian kerana ia lebih efektif.

Rakan sekolahnya, Chiew Rou Yi, 19, turut berkongsi pendapat sama dan gembira dapat kembali menjalani sesi persekolahan secara bersemuka berbanding kelas secara dalam talian kerana ia lebih efektif.

“Selepas lebih tiga bulan mengikuti kelas secara dalam talian, saya lebih memilih belajar di dalam kelas secara bersemuka di sekolah kerana ia lebih mudah.

“Lebih-lebih lagi apabila menjelang musim peperiksaan kerana perlu membuat persiapan rapi dan betul-betul memahami pembelajaran untuk setiap subjek,” katanya.

Bagi Nur Aqilah Zainal Abidin, 19, beliau turut gembira dan teruja dapat bertemu semula dengan rakan sekelas dan belajar secara bersemuka kerana berhadapan kesukaran untuk memahami pembelajaran yang dilakukan secara dalam talian.

“Apabila kita belajar di rumah, sukar untuk fokus kerana banyak perkara yang menyebabkan perhatian pada kelas terganggu, ia memang antara cabaran yang perlu dihadapi apabila belajar secara PdPR.

“Walaupun hari ini dapat kembali bersekolah, keluarga mengingatkan untuk sentiasa menjaga SOP, menjaga penjarakan fizikal untuk tidak berada terlalu rapat dengan kawan ketika berada di dalam kelas atau pada waktu rehat,” katanya.

Bagi ibu bapa pula, sebahagian yang ditemui berpendapat keputusan kerajaan membuka semula sesi persekolahan secara bersemuka adalah tepat walaupun masih timbul rasa bimbang memandangkan situasi jangkitan COVID-19 negara yang masih tinggi.

Bagi Susan Lau, 51, walaupun situasi COVID-19 negara kini bertambah baik dan majoriti rakyat sudah menerima vaksin, namun tetap bimbang sekiranya wujud jangkitan di sekolah.

“Apabila kerajaan memutuskan membuka semula sesi persekolahan secara bersemuka, saya sebagai ibu berasa agak bimbang tetapi kami tiada pilihan untuk menghantar semula anak ke sekolah.

“Bagaimanapun, anak perlu membuat persiapan untuk peperiksaan, namun saya mengingatkan dia supaya betul-betul menjaga SOP yang ditetapkan ketika berada di sekolah,” katanya.

Ahmad Faizi Ismail, 61, pula berpendapat pembukaan semula sekolah adalah keputusan yang baik kerana anaknya dapat lebih menumpukan perhatian kepada pelajaran apabila berada di sekolah berbanding di rumah.

“Belajar di rumah kurang berkesan, lebih baik anak belajar secara bersemuka di sekolah namun kita harap pihak sekolah dan Kementerian Pendidikan dapat memastikan segala SOP yang ditetapkan dapat dipatuhi semua pihak.

“Ini bagi memastikan tiada sebarang isu jangkitan COVID-19 berlaku di sekolah dan sebagai ibu bapa, itulah perkara utama yang kami pesan kepada anak iaitu mematuhi segala SOP yang ditetapkan pihak sekolah,” katanya.

PALING POPULAR

To Top