Umum

Stadium Bukit Jalil kini menggunakan rumput bertaraf dunia

Foto FB Perbadanan Stadium Malaysia

Stadium Nasional Bukit Jalil kini berwajah baharu selepas menjalani proses penukaran rumput kepada jenis Zeon Zoysia sejak Mac lalu.

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenan merasmikan padang baharu Stadium Nasional di Bukit Jalil sehari sebelum sepak mula pertandingan ikonik Pestabola Merdeka 2023.

Majlis perasmian tersebut turut disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Datuk Hans Isaac dan Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Mohd Faidz Sanusi.

Selain penanaman rumput baharu jenis Zeon Zoysia kurniaan tajaan Tunku Ismail yang jumlahnya tidak didedahkan, wajah baru Stadium Nasional turut melibatkan proses menaik taraf berkaitan padang, struktur dan tapak semaian melibatkan kos hampir RM4.8 juta, jelas Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Sehubungan itu, Hannah berkata kementeriannya akan memberi geran untuk penanaman rumput, namun kos penyelenggaraan dan pembelian mesin harus ditanggung sendiri oleh negeri-negeri yang berminat.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kos sekitar RM4.7 juta setahun perlu disediakan mana-mana Kerajaan Negeri yang berhasrat untuk menukar padang stadium mereka dengan rumput Zeon Zoysia.

Katanya lagi, kos yang sama telah dikeluarkan oleh PSM untuk menukar dan menaik taraf Stadium Nasional Bukit Jalil yang kini berwajah baharu.

Menteri Belia dan Sukan juga menyatakan bahawa terdahulu, tawaran ini (tajaan KBS) diberi kepada semua Exco Kerajaan Negeri, namun dengan PRN yang baru berlangsung terdapat penukaran EXCO yang sebelumnya memang berminat dengan tawaran tersebut bergantung status dan kos penyelengaraan.

“Seperti anda sedia maklum, rumput sahaja tidak mencukupi, kena ada naik taraf saliran dan mesin itu perlu ada,”

“Bermaksud negeri-negeri perlu ada lebih kurang RM4.7 juta kalau nak (geran tajaan KBS Belia),” kata Hannah selepas majlis perasmian padang baharu Stadium Nasional yang disempurnakan oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Bagaimanapun Hannah berkata kos sebenar bagi setiap negeri tidak sama kerana semua stadium mempunyai masalah berbeza terutamanya berkaitan sistem peparitan.

PALING POPULAR

To Top