Umum

Ibubapa Zayn Rayyan ditahan, disiasat ikut Seksyen 302 Kanun Kesesksaan

Polis menahan ibu bapa kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, yang ditemui dibunuh di Damansara Damai di sini, Disember lalu, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, suami isteri itu ditahan berdasarkan hasil maklumat risikan dan siasatan dari hari pertama kejadian tersebut.

“Tangkapan berpandukan risikan sejak hari kejadian sehingga sekarang. Tangkapan ini bagi membantu siasatan.

“Mereka direman tujuh hari, siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (membunuh),” katanya dilaporkan Sinar Harian pada Sabtu.

Terdahulu, media melaporkan pasangan berusia 28 tahun terbabit dipercayai ditahan di kediaman keluarganya di Puncak Alam, Selangor kira-kira jam 11 pagi Jumaat.

Pasangan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut.

Pada 6 Disember lalu, kanak-kanak malang berusia enam tahun itu ditemui meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam.

Mayat kanak-kanak itu ditemukan di kawasan saliran air kira-kira 200 meter dari kediaman keluarganya di Apartmen Idaman, Damansara Damai oleh orang awam yang menyertai operasi mencari mangsa.

Polis mengesahkan mangsa dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan tubuh kanak-kanak yang mempunyai kaitan akibat perbuatan jenayah.

Sehari sebelum itu, polis mengesahkan menerima laporan kehilangan kanak-kanak terbabit pada jam 6.30 petang oleh keluarganya.

 

PALING POPULAR

To Top