Umum

Insiden pokok tumbang, 4 stesen monorel ditutup sementara

Gambar Facebook

4 stesen monorel ditutup sementara susulan insiden pokok tumbang berhampiran Stesen Bukit Nanas bagi kerja-kerja pembersihan dan baik pulih.

Menurut kenyataan oleh Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail), pihaknya akan menyediakan perkhidmatan alternatif bagi kesinambungan perjalanan pengguna bermula 6 pagi hari ini.

“Empat stesen monorel ditutup kepada orang ramai disebabkan keperluan penutupan bekalan kuasa di landasan bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembersihan dan baik pulih.

“Stesen terbabit ialah Stesen Monorel Bukit Nanas, Stesen Monorel Raja Chulan, Stesen Monorel Bukit Bintang dan Stesen Monorel Imbi,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Sehubungan itu Rapid Rail menyarankan penumpang yang terkesan akibat gangguan luar jangka itu menggunakan perkhidmatan tren lain sebagai alternatif.

Dalam pada itu, kerja-kerja pembersihan dan baik pulih terperinci sedang giat dijalankan oleh Rapid Rail dengan bantuan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

“Pihak operasi dan jurutera struktur juga sedang menjalankan pemeriksaan terperinci untuk memastikan pengoperasian penuh dapat dijalankan mengikut standard keselamatan dan piawaian yang telah ditetapkan.

“Sebarang kemas kini akan dimaklumkan secara berkala menerusi saluran media sosial Rapid KL dan aplikasi PULSE,” katanya.

Rapid Rail turut memohon maaf atas gangguan luar jangka itu dan akan memastikan perkhidmatannya akan dapat beroperasi sepenuhnya secepat mungkin.

Pada hari Selasa, media melaporkan insiden sebatang pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail, menghempap 17 kenderaan dan landasan monorel akibat hujan lebat serta angin kuat.

Dalam insiden pada kira-kira jam 2 petang tersebut, turut dilaporkan seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera.

PALING POPULAR

To Top