Umum

Iskandar digantung keahlian beserta semua jawatan selama 4 tahun

Gambar Facebook

Ahli Parlimen Kuala Kangsar Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid digantung keahlian selama 4 tahun berkuatkuasa 3 November 2023 ekoran tindakannya yang mengumumkan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim tempoh hari.

Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainudin, berkata turut digantung selain keahliannya adalah semua jawatan yang disandang wakil rakyat itu bagi tempoh yang sama.

“Iskandar digantung keahliannya berserta semua jawatan dalam parti yang dipegang bagi tempoh 4 tahun berkuatkuasa dari tarikh keputusan dan hukuman, iaitu 3 November 2023,” katanya dalam kenyataan.

Hamzah berkata, keputusan penggantungan itu telah dibuat oleh Jawatankuasa Lembaga Disiplin Bersatu yang bersidang semalam bagi meneliti laporan pelanggaran disiplin dan Perlembagaan oleh Iskandar Dzulkarnain yang juga merupakan Ketua Bahagian Bersatu Kuala Kangsar.

“Setelah diteliti dengan sehalusnya segala bukti dokumentasi, keseriusan kesalahan,implikasi serta impak kepada parti dan juga surat penjelasan daripada Iskandar Dzulkarnain, Jawatankuasa Lembaga Disiplin mendapati beliau bersalah di bawah Fasal 22.1 (f) Perlembagaan Bersatu,” katanya.

Media telah melaporkan sebelum ini, Iskandar Dzulkarnain mengumumkan sokongan kepada kepimpinan Anwar sebagai perdana menteri selepas meneliti rintihan berterusan pengundi dan menitikberatkan keperluan mendesak untuk menangani masalah krisis kenaikan kos sara hidup yang melanda kawasannya.

PALING POPULAR

To Top