Umum

Isu kenyataan Koo Ham babitkan MKI, Polis buka kertas inkuiri

Polis membuka kertas inkuiri (KEP) berkaitan kenyataan sensitif Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham dalam isu membabitkan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, di bawah klasifikasi itu, semua laporan yang diterima diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan memandangkan laporan pertama dibuat di sana.

Katanya, setakat ini, sebanyak 16 laporan polis telah dibuat di Perak terhadap pemimpin DAP itu.

“Kita sudah terima 16 laporan, siasatan telah bermula dan dijalankan di bawah KEP,” katanya dilaporkan Sinar Harian.

Koo Ham sebelum ini dilapor membuat saranan supaya kerajaan melantik pakar daripada masyarakat bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam yang ditubuhkan pada awal bulan ini.

Susulan cadangan tersebut, Pengerusi DAP Perak itu mendapat kecaman hebat daripada pemimpin-pemimpin Islam dalam negara.

Sehubungan itu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mempengerusikan MKI turut mengingatkan rakyat khususnya yang bukan beragama Islam agar menghormati dan tidak mencampuri urusan berkaitan hal ehwal agama Islam di negara ini.

Sejurus kemudian, Koo Ham membuat permohonan maaf dan menarik balik cadangannya itu.

PALING POPULAR

To Top