Umum

Jawatan MB bukan jaminan menang

Calon PRK Kemaman PAS, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata kedudukannya sebagai menteri besar Terengganu bukan jaminan untuk membawa kemenangan PAS di kerusi itu pada 2 Disember ini.

Beliau yang juga naib presiden PAS menyatakan walaupun calon PAS di kerusi itu pada PRU 15 Che Alias Hamid memperoleh kemenangan dengan majoriti yang besar, ia bukan alasan untuk jentera parti berasa selesa.

Menurutnya, walaupun pengundi memberi reaksi positif namun beliau tidak memandang rendah calon lawan dan terus mengingatkan semua jentera parti supaya bekerja keras untuk mempertahankan kemenangan.

Menurut laporan Berita Harian, Ahmad Samsuri berkata “Saya selalu sebut dalam mana-mana pilihan raya…(situasinya) macam main bola, selagi tak habis wisel penamat, selagi itu kita berlari tak habis garis penamat, kita jangan merasa selesa (dan) kena terus bekerja hingga titik yang terakhir.”

Samsuri berdepan calon Barisan Nasional (BN) yang juga bekas panglima tentera, Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor pada PRK nanti.

PRK Kemaman diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan Che Alias pada PRU15.

Pada PRU15 lalu, Che Alias berjaya memperoleh kemenangan dengan majoriti 27,179 undi mengatasi calon lain termasuk bekas Menteri Besar Ahmad Said dalam pertembungan 4 penjuru.

PALING POPULAR

To Top