Umum

Jenazah suami isteri ditikam anak telah dituntut waris, akan dikebumikan hari ini

Gambar Sinar Harian

Jenazah pasangan suami isteri yang ditemui maut dibunuh anaknya di ruang tamu rumah mereka di Kampung Sungai Penchala pada Sabtu akan dikebumikan bersama dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Penchala.

Menurut laporan Sinar Harian, salah seorang waris keluarga mangsa yang enggan dikenali berkata, keputusan itu dibuat hasil persetujuan bersama waris-waris keluarga yang lain.

Menurutnya, jenazah pasangan warga itu akan dimandikan dan disembahyangkan di Masjid Jamek Tengku Abdul Aziz Shah, Kampung Sungai Penchala.

“Selepas itu, kedua-dua jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Penchala selepas waktu Isyak hari ini,” katanya.

Menurut waris keluarga, mangsa merupakan mantan imam masjid dan juga pengerusi pertama tabung khairat Masjid Jamek Tengku Abdul Aziz Shah.

Pasangan suami isteri berusia 72 dan 82 terbaring berlumuran darah selepas maut ditikam anak kandung mereka di ruang tamu rumah mereka, dipercayai selepas berlaku pertengkaran.

Susulan kejadian itu, suspek cuba melarikan diri di kawasan hutan berhampiran rumah mereka sebelum gerakan mencari suspek giat dilakukan dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9).

Suspek berjaya ditangkap pada jam 10.30 malam di bawah terowong Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT) dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, dalam suatu sidang media di IPD Brickfields pada hari Ahad, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, hasil saringan air kencing, suspek yang berusia 42 tahun didapati positif dadah amphetamine, methamphetamine dan morphine.

“Semakan lanjut pihak polis mendapati suspek mempunyai sembilan rekod kes jenayah dadah sejak Januari 2016 hingga November lalu.

“Suspek pernah ditangkap pada 30 November lalu di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan telah dituduh di Mahkamah Kuala Lumpur pada 1 Disember lalu, dia diberikan jaminan mahkamah sebanyak RM2,000,” katanya.

 

 

Sumber Sinar Harian

PALING POPULAR

To Top