Umum

Trend jumlah kes COVID19 terus meningkat

Gambar Hiasan

Kementerian Kesihatan Malaysia akan memantau trend kenaikan Covid-19 yang dilihat semakin meningkat sejak kebelakangan ini, namun ia dijangka akan terus terkawal tanpa membebankan fasiliti kesihatan.

Menurut Menterinya, Dr Zaliha Mustafa, KKM menjangkakan trend akan terus menaik di penghujung tahun, khususnya sewaktu musim Krismas, ekoran aktiviti kunjung-mengunjung rumah keluarga dan sanak saudara.

KKM menggalakkan rakyat untuk terus mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada seperti memakai pelitup muka di tempat yang agak sesak, dan menjaga kebersihan diri.

Dr Zaliha berkata “kalau kita tengok beberapa minggu kebelakangan ini kes meningkat. Jumlah nanti saya akan beri, tetapi dalam keadaan sekarang kita lihat kes yang agak ringan, dan tidak membebankan fasiliti kesihatan.”

“Dan kalau positif (Covid-19) mereka diminta asingkan diri beberapa hari… sekarang SOP masih lima hari. Jika di tempat agak sesak kita galakkan, bukan mandatori, galakkan pakai pelitup muka. Lainnya jaga kesihatan diri… amalkan SOP biasa yang kita laksanakan,” katanya lagi.

Dr Zaliha berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Setahun Bersama Kerajaan Malaysia Madani serta Pelepasan Mobilisasi Madani Afiat dan Saringan Kesihatan di Bukit Jalil, pada Ahad.

Pada minggu lepas, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, sebanyak 3,626 kes Covid-19 dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-47 (ME 47/2023) iaitu dari 19 hingga 25 November lepas.

PALING POPULAR

To Top