Umum

Cadangan sistem trem moden di Melaka, APAD dapatkan maklum balas orang ramai

Gambar Metro Trem

Satu sistem tram moden dicadang dibina di negeri ini oleh Metro Trem Sdn. Bhd, kata Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) menerusi suatu hantaran di media sosial.

APAD memaklumkan sistem pengangkutan itu melibatkan jajaran kira-kira 20km dengan 25 hentian, termasuk depot yang akan menyambungkan perkhidmatan bas sedia ada, teksi dan sistem pengangkutan lain pada masa akan datang.

Katanya lagi, Sistem yang dicadangkan ini juga bersambung dengan Melaka Cruise di Stesen River Cruise, dan akan meliputi bahagian bandar bersejarah Melaka serta menghubungkannya dengan Melaka Sentral untuk menyediakan perkhidmatan pengangkutan yang lancar untuk pengunjung.

Sehubungan itu, agensi tersebut sedang mendapatkan pandangan dan maklum balas orang ramai berkaitan cadangan sistem trem moden di Melaka yang akan dibina.

Dalam mengulas perkara tersebut, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook memyatakan pandangan dan maklum balas penting sebelum keputusan “railway scheme” dikeluarkan kepada syarikat berkenaan untuk melaksanakan kerja-kerja pembinaan trem berkenaan.

“Apad telah membuat paparan umum … sebelum ‘railway scheme’ dikeluarkan, syarikat berkenaan perlu melakukan pemeriksaan awam dan perkara berkenaan sedang dilakukan.

“Orang ramai boleh memberi pandangan termasuk kesan terhadap mereka sama ada positif atau negatif kerana APAD akan mengumpul semua pandangan berkenaan sebelum ‘railway scheme’ diluluskan,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Melaka Kali ke-24 hari ini.

Loke berkata, pembinaan sistem trem moden itu perlu dilakukan mengikut prosedur dan peraturan sedia ada namun Kementerian Pengangkutan bersedia membantu syarikat berkenaan membangunkan sistem pengangkutan baharu di negeri pelancongan itu.

“Di kementerian, kalau ada pelaburan daripada pihak swasta yang mendapat sokongan kerajaan negeri dan berlandaskan undang-undang serta peraturan sedia ada, kita tidak ada masalah untuk permudahkan,” katanya.

Orang ramai dipelawa untuk hadir ke Pemeriksaan awam bertempat di Ibu Pejabat Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan di Plaza Melaka Sentral atau boleh layari www.metrotrem.com untuk membuat semakan dokumen seperti pelan rekabentuk, jajaran dan maklumat-maklumat lain yang berkaitan. Sebarang bantahan dan maklumbalas berhubung projek Metro Trem ini hendaklah dikemukakan secara bertulis semasa pemeriksaan awam di jalankan iaitu 3 bulan bermula dari 05 Disember 2023 hingga 05 Mac 2024.

 

 

PALING POPULAR

To Top