Umum

Johan Mahmood dilantik sebagai KSP baharu

Datuk Johan Mahmood @ Johan Mahmood Merican dilantik sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) Kementerian Kewangan (MoF) berkuat kuasa hari ini, demikian umum Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Jawatan KSP kosong sejak beberapa bulan lalu selepas Datuk Seri Asri Hamidin dicutikan apabila kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) mengambil tampuk pentadbiran.

Mohd Zuki dalam kenyataan hari ini berkata pelantikan Johan, 50, yang sebelum ini adalah Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar), mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Mohd Zuki berkata pelantikan tersebut adalah berdasarkan kelayakan, ciri-ciri kepimpinan dan pengalaman luas beliau sepanjang memegang beberapa jawatan dalam bidang ekonomi, kewangan dan dasar.

“Saya berkeyakinan penuh dengan kelayakan, pengalaman dan kredibiliti beliau menggalas amanah serta mendukung misi dan visi dalam meneruskan kecemerlangan pengurusan kewangan dan ekonomi negara yang cekap, telus dan berkesan selari dengan hasrat Malaysia MADANI,” katanya.

Johan merupakan lulusan kelas pertama dari University of Cambridge serta akauntan bertauliah dari Institute of Chartered Accountants in England and Wales (ICAEW).

Beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Talent Corp Malaysia Bhd (TalentCorp), Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri dan Pengarah Belanjawan Negara, Kementerian Kewangan.

PALING POPULAR

To Top