Umum

JPJ lancarkan operasi khas bermula minggu depan

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melancarkan operasi khas besar-besaran terhadap kenderaan perdagangan khususnya membabitkan lori bermula minggu depan.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Aedy Fadly Ramli berkata, satu arahan telah dikeluarkan kepada semua pengarah JPJ negeri untuk menjalankan Operasi Khas Kenderaan Perdagangan berkaitan lebihan muatan.

“Operasi berkenaan akan diketuai oleh setiap Pengarah JPJ negeri dan Bahagian Penguatkuasa di ibu pejabat juga diarah membuat pemantauan serta menyediakan laporan,” katanya pada sidang media selepas Operasi Bersepadu di Plaza Tol Awan Besar (Timur) di sini, malam tadi.

Beliau berkata, Bahagian Penguatkuasa Ibu Pejabat JPJ Putrajaya juga akan memantau operasi ini secara rapi untuk mengemukakan laporan penuh kepada pihak pengurusan tertinggi JPJ dan juga Kementerian Pengangkutan Malaysia.

Pelaksanaan operasi ini susulan kes kemalangan melibatkan sebuah lori treler yang membawa muatan batu pasir dengan beberapa kenderaan lain Kilometer 5.7 Jalan Persiaran Utara, Putrajaya Rabu lalu. Dalam kejadian pagi itu, lori treler terbabit dipercayai telah mengubah laluan dari lorong tengah ke kiri sebelum merempuh kenderaan lain mengakibatkan 2 penunggang motosikal maut manakala 7 lagi mengalami kecederaan.

Berikutan kejadian itu, pemandu treler iaitu lelaki berusia 29 tahun direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 

Sumber JPJ

 

PALING POPULAR

To Top