Umum

JPJ tidak kompromi dengan PeWA yang langgar undang-undang

Gambar Facebook

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah tidak akan berkompromi dengan Pemandu Warga Asing (PeWA) yang didapati melanggar peraturan jalan raya.

Menurut Pengarah JPJ Kedah, Aman Shah Hashim, pihaknya akan turut mengenakan tindakan terhadap majikan ataupun penyewa yang menyewakan kenderaan kepada warga asing yang tidak mempunyai lesen atau insurans. Aman Shah turut menyatakan, JPJ telah mengesan terdapat individu warga tempatan yang dipercayai meraih keuntungan dengan menyewa kenderaan mereka kepada warga asing.

“JPJ tidak akan bertolak ansur mengenai kenderaan-kenderaan PeWA yang disewakan. Berpandukan maklumat kita, motosikal sewaan ada yang (dikenakan) RM300 sebulan, kalau (ada) 100 unit (hasilnya) RM30,000 sebulan,” katanya kepada pemberita selepas menyertai Op Patuh di Kawasan Rehat dan Rawat Gurun, Rabu malam.

Beliau menjelaskan, kompaun awal boleh dikenakan antara RM100 hingga RM250 untuk motosikal manakala RM150 hingga RM300 untuk kenderaan melebihi 250 cc.

Pemandu warga asing juga akan dikenakan tindakan mengikut Seksyen 26 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) manakala warga tempatan yang juga pemilik kenderaan yang menyewakan kenderaan kepada warga asing juga boleh dikenakan tindakan mengikut seksyen sama.

Aman Shah berkata, sejak 1 November lalu, pihaknya melakukan operasi Op Patuh Bersepadu 2023 bersama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta beberapa agensi lain.

“Sasaran operasi itu adalah terhadap PeWa, operasi perkhidmatan barangan (PKB) dan perkhidmatan awam, operasi lebuh raya dan Ops Teknikal (Puspakom),”katanya.

PALING POPULAR

To Top