Umum

Kaji selidik mendapati penurunan penggunaan kad kredit, alih ke BNPL

Gambar Shopee

Platform pembayaran digital SeaMoney telah mendapati penurunan penggunaan kad kredit sebanyak 9% di kalangan pengguna platform.

Kaji selidik oleh platform itu yang mempunyai 25,000 pengguna aktif mendapatkan maklumat berkaitan “Buy Now Pay Later” (BNPL) atau Beli Sekarang Bayar Kemudian sebagai penyelesaian kewangan alternatif kepada kad kredit yang menjadi pilihan konvensional.

SPayLater oleh Shopee yang juga sebahagian daripada SeaGroup, memberi pengguna fleksibiliti pembayaran dengan membuat pembelian segera dengan pelan pembayaran yang fleksibel, kata satu kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.

Kaji selidik pada suku pertama 2023 SPayLater turut mendedahkan kemerosotan sebanyak 47 peratus dalam pinjaman daripada rakan dan keluarga yang berpendapat bahawa pengguna beralih kepada perkhidmatan BNPL seperti SPayLater.

Selain itu, tinjauan itu juga mendedahkan penurunan 43 peratus di kedai pajak gadai dan berkurangan sebanyak 20 peratus dalam mendapatkan perkhidmatan daripada syarikat pemberi pinjaman wang (PPW) berlesen.

Ketua ShopeePay dan SeaMoney, Malaysia Alain Yee berkata kumpulan berpendapatan berbeza mendapat manfaat daripada perkhidmatan BNPL.

“Golongan berpendapatan rendah hingga sederhana menggunakan BNPL kerana mudah atau pembelian terancang, manakala kelas pertengahan menyukainya kerana fleksibel dalam menguruskan perbelanjaan yang tidak dijangka.

“Pengguna berpendapatan tinggi meneroka saluran kewangan alternatif tanpa menjejaskan kredit mereka. Penggunaan berkenaan membawa kami memahami tabiat kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia,” kata Yee dalam kenyataan itu.

Dalam pada itu, kenyataan itu berkata penurunan dalam pinjaman peribadi mencerminkan peralihan daripada bantuan kewangan yang kurang terkawal.

Sementara itu, sehingga 88.2 peratus berpuas hati dengan penyelesaian BNPL SPayLater dan 81.9 peratus mengesyorkan perkhidmatan tersebut kepada orang lain manakala 24.5 peratus berkata sebab utama mereka menggunakan perkhidmatan itu kerana perkhidmatan SPayLater adalah mudah.

PALING POPULAR

To Top