Umum

Kanak-kanak 8 tahun maut dilanggar MPV

Seorang kanak-kanak lelaki maut selepas basikal ditunggang dilanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) ketika cuba melintas jalan di Lorong 14 Kampung Padang Jaya 2 di sini, pada Rabu.

Dalam kemalangan kira-kira jam 6.45 petang itu, mangsa, Muhammad Azzim Imni Mohd Faizal, 8, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Padang di sini disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pemandu MPV jenis Toyota Innova, wanita berusia 33 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika MPV dipandu wanita yang juga seorang peniaga itu sedang melalui lorong itu menuju ke Jalan Kampung Padang Jaya 8 untuk ke Sungai Lembing.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa yang menaiki basikal dipercayai secara tiba-tiba melintas dari kiri ke kanan jalan untuk pulang ke rumahnya di Lorong Kampung Padang Jaya 15.

“Ekoran jarak yang terlalu dekat, pemandu MPV tidak sempat mengelak lalu terlanggar mangsa,” katanya.

Wan Mohd Zahari berkata, mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk proses bedah siasat.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – Sinar Harian

PALING POPULAR

To Top