Umum

Polis tunggu keputusan DNA kenal pasti rangka manusia dalam longkang

Polis dalam proses mengenal pasti sama ada rangka manusia yang ditemukan dalam longkang di depan sebuah sekolah di Jalan Kebun, Klang pada 27 Ogos lepas, mempunyai kaitan dengan kehilangan seorang lelaki tempatan dua bulan lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata identiti mayat itu sama ada ia mangsa yang hilang akan diketahui melalui keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dalam tempoh dua minggu lagi.

“Polis telah mengenal pasti satu kes seorang lelaki warga tempatan yang dilaporkan hilang dengan anggaran usia sama dengan mayat berkenaan…sama ada mayat itu adalah mangsa yang hilang atau sebaliknya, kita perlu tunggu keputusan DNA,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Pelupusan Barang Kes Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sepang di sini hari ini.

Tular di media sosial baru-baru ini penemuan mayat yang hanya tinggal tulang dan tengkorak tersangkut pada batang paip dalam longkang depan sekolah di Jalan Kebun, Klang.

Beliau berkata bedah siasat telah dilakukan, namun masih dalam proses untuk mengesahkan punca kematian serta klasifikasi kes sama ada ia melibatkan jenayah atau mati mengejut (SDR).

Dalam perkembangan lain, Hussein berkata seorang anggota polis di IPD Sepang yang didakwa terbabit dalam kes khalwat akan dikenakan tindakan disiplin.

Katanya polis telah membuka dua kertas siasatan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melalui laporan dibuat anggota itu sendiri yang mendakwa beliau difitnah oleh individu lain.

Pada 25 Ogos lepas, tular video berkaitan dakwaan salah laku melibatkan anggota polis ditangkap khalwat oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di sebuah kondominium.

Terdahulu, Hussien menyaksikan proses pelupusan barang kes membabitkan 80 mesin bitcoin, pelbagai jenama rokok dan minuman keras yang dirampas sejak 2019 hingga Mac lepas bernilai RM216,318.26.

“Kesemua barang kes dilupuskan dengan cara musnah melalui kaedah e-sisa dan jualan sisa besi dan pepejal, setelah mendapat kelulusan mahkamah,” katanya menambah rampasan berkenaan membabitkan lapan kes dengan enam daripadanya telah diambil tindakan undang-undang dan dua lagi tiada tindakan lanjut (NFA).

— BERNAMA

PALING POPULAR

To Top