Umum

KBS pertimbang semula pembangunan bakat muda golf

Gambar IG Hannah Yeoh

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mempertimbangkan menstruktur semula pelan pembangunan bakat muda golf dalam kesinambungan melahirkan pemain yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh telah menyatakan pihaknya akan meniliti kewajaran menyediakan pusat latihan berpusat yang boleh digunakan pemain muda dan pemain senior untuk berkongsi kepakaran masing-masing.

Hannah berkata, cetusan idea berkenaan adalah menerusi pertemuan tertutup bersama enam pemain golf negara yang sedang beraksi dalam Kejohanan Golf Maybank 2023 iaitu Alyaa Abdulghany, Jeneath Wong, Ashley Lau, Natasha Andrea Oon, Jing Xuen Ng dan Kelly Tan di Kuala Lumpur Golf and Country Club, Kuala Lumpur pada Sabtu.

“Semasa perbualan dengan pemain-pemain kita, mereka tidak meminta untuk diri mereka tetapi mereka mohon supaya kem pembangunan sukan kebangsaan digerakkan semula bagi membantu ahli sukan perempuan berlatih bersama-sama supaya mereka mempunyai masa untuk bergaul dan belajar.

“Kami juga mahu melihat cara untuk mendekatkan lagi hubungan kerana kebanyakan pemain golf negara berpangkalan di seberang laut. Kita menang pingat emas di Sukan SEA tahun ini di Kemboja, jadi kita harus meneruskan pembangunan sukan ini,” katanya kepada pemberita pada Sabtu.

Sehubungan itu, Hannah turut mengumumkan Geran Padanan Sukan (GPS) sebanyak RM1 juta untuk edisi sulung Kejohanan Golf Maybank 2023 yang berlangsung bermula 26 hingga 29 Oktober, yang juga merupakan salah satu kejohanan di bawah Jelajah Persatuan Golf Wanita Profesional (LPGA) musim ini.

Hannah berharap lebih banyak persatuan sukan akan mendapat manfaat pada tahun depan, apabila Belanjawan 2024 yang memperuntukkan tambahan RM50 juta GPS terus menggalakkan penganjuran acara sukan berprestasi tinggi di negara ini.

“Apa yang kami harap untuk lakukan tahun depan ialah untuk mengkaji bagaimana kami boleh meneruskan penggunaan geran sepadan itu. Tahun ini kami diberikan RM40 juta untuk menyokong acara-acara seperti ini dan kami menerima 924 permohonan,” katanya.

Beliau turut menerangkan bahawa setelah belanjawan diluluskan, KBS akan ada RM50juta dan berharap kesemua persatuan sukan memahami keadah pengagihan geran ini serta mendapatkan kelulusan awal dari badan antarabangasa untuk menganjurkan acara di Malaysia.

Kejohanan Golf Maybank bernilai AS$3 juta (RM14.34 juta) menampilkan 78 pemain termasuk 10 dari Malaysia dan negara ASEAN.

PALING POPULAR

To Top