Umum

Kejadian pecah rumah jenayah popular sepanjang bulan Ramadan

Gambar Hiasan

Kejadian jenayah pecah rumah dikesan antara aktiviti jenayah yang kerap berlaku sepanjang Ramadan dan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Menurut Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong, ia berdasarkan laporan yang diterima setakat ini.

“Antara lokasi yang menjadi sasaran adalah sekitar kawasan perumahan dan kawasan perkampungan.

“Susulan itu, rondaan dipertingkatkan termasuk melibatkan rondaan bermotosikal, kereta peronda dan unit cegah jenayah bagi mengekang jenayah ini,” katanya ketika program singgah sahur bersama warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di Pandamaran, pada hari Khamis.

Susulan itu orang ramai dinasihatkan agar sentiasa memaklumkan ketiadaan mereka di rumah kepada balai polis berhampiran.

“Ramai yang salah faham berkaitan pemakluman ini, mereka ingat ia ketika perayaan sahaja, kalau balik kampung atau tiada di rumah dalam tempoh tertentu tetap boleh maklum kepada polis.

“Selain itu, maklumkan juga kepada jiran tentang ketiadaan kita, supaya jiran dapat bantu tengokkan rumah dan lapor kepada pihak berkuasa sekiranya ada sebarang kejadian jenayah,” katanya.

PALING POPULAR

To Top