Umum

Monopoli PUSPAKOM tamat 31 Ogos

Gambar Facebook

Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) tidak lagi memegang monopoli perkhidmatan pemeriksaan berkala kenderaan motor selepas konsesinya tamat 31 Ogos depan.

Perkara tersebut diumumkan Menteri Pengangkutan Anthony Loke sambil berkata garis Panduan terperinci perkhidmatan pemeriksaan berkala kenderaan motor yang diwajibkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 boleh diperoleh bermula 15 April ini.

Mengulas lanjut beliau berkata garis panduan itu mengandungi semua syarat perkhidmatan, prosedur pemeriksaan, peralatan pemeriksaan, syarat pengoperasian pusat pemeriksaan, perjanjian tahap perkhidmatan dan lain-lain peraturan berkaitan.

Katanya lagi, syarat-syarat perkhidmatan terbahagi kepada tujuh komponen utama terdiri daripada modal berbayar syarikat ditetapkan berjumlah RM10 juta dan mempunyai modal pusingan berjumlah RM5 juta setahun demi menjaga kemampanan perniagaan.

Sehubungan itu, pemegang lesen hanya dibenarkan menjalankan semua skop pemeriksaan yang diwajibkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan tidak dibenarkan menawarkan perkhidmatan pembaikan kenderaan motor, pengubahsuaian, penjualan alat ganti, penjualan kenderaan serta sebarang transaksi yang berkaitannya demi menjaga integriti.

“Lokasi pembukaan pusat pemeriksaan adalah di lokasi yang akan ditetapkan oleh MOT dan setiap negeri sekurang-kurangnya mempunyai dua atau tiga lokasi, “katanya ketika sidang media bagi mengumumkan Kerangka Pelesenan untuk Pemeriksaan Berkala di Kementerian Pengangkutan pada hari Selasa.

 

Pada 17 Mac lalu, Jemaah Menteri membuat keputusan tiada lagi monopoli PUSPAKOM sebagai penyedia pemeriksaan berkala kenderaan motor berkuat kuasa 1 September 2024, susulan konsesi semasa khidmat pemeriksaan kenderaan motor kepada PUSPAKOM tamat pada 31 Ogos ini

Loke berkata, setiap tawaran akan mempunyai dua lokasi yang dikembarkan setiap satunya merangkumi satu kawasan bandar dan satu kawasan luar bandar.

Pemohon diwajibkan membangunkan dan mengoperasikan kedua-dua lokasi secara serentak dan senarai lokasi akan dimaklumkan semasa sesi taklimat.

Mana-mana pihak yang berkelayakan, memenuhi syarat dan kompeten akan diberikan kuasa dan lesen menjalankan fungsi pemeriksaan kenderaan motor di bawah Akta 333 Kawal Selia ke atas perkhidmatan disediakan akan ditetapkan melalui syarat-syarat lesen.

“Pemegang lesen juga akan dikenakan bayaran fi bagi setiap lesen yang dikeluarkan,” katanya.

Semua syarat yang ditetapkan bertujuan memastikan tahap integriti pemeriksaan, teratur dan berkualiti demi menjamin tahap keselamatan kenderaan dan jalan raya.

Menurutnya, selepas penilaian teliti, MOT dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan memberi satu kelulusan interim kepada mana-mana pihak yang telah dinilai berkelayakan akan diperuntukkan hingga 24 bulan bagi tempoh persiapan dan pembangunan.

Mana-mana pihak dalam tempoh interim didapati gagal melengkapkan semua proses persiapan akan dibatalkan kelulusan dan tidak akan diberikan lesen.

“Pihak yang berjaya melengkapkan semua proses pembangunan dan disahkan akan diberikan lesen oleh JPJ untuk mula beroperasi dan menjalankan fungsi pemeriksaan kenderaan motor untuk tempoh masa maksimum 10 tahun dengan kebolehan untuk disambung bagi suatu tempoh lain yang akan ditetapkan kemudian,” katanya.

Menurut Loke, semua pemegang lesen akan diwajibkan menyediakan perkhidmatan seperti mana ditetapkan di bawah syarat-syarat lesen serta mematuhi lain-lain arahan yang dikeluarkan MOT atau JPJ di sepanjang tempoh lesen berkuat kuasa.

Mana-mana pihak yang didapati gagal mematuhi syarat-syarat tersebut akan dikenakan penalti dan boleh digantung atau dibatalkan lesen yang telah diberikan sekiranya terdapat pelanggaran syarat lesen.

“Sesi taklimat mengenai syarat-syarat pelesenan dan segala yang berkaitan dijangka diadakan pada 23 April ini,” katanya.

 

PALING POPULAR

To Top