Travel

Kekerapan penerbangan ke Sarawak ditingkatkan bermula 1 November

Kekerapan penerbangan ke Sarawak akan ditambah daripada 89 penerbangan kepada 223 penerbangan setiap minggu bermula 1 November ini, kata Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin.

Beliau berkata setakat hari ini syarikat penerbangan utama seperti Malaysia Airlines Berhad, Airasia Berhad dan Malindo Airways telah dimaklumkan oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) mengenai kelulusan kekerapan penerbangan baharu itu.

Menurut Lee dengan penetapan baharu itu, Kuching akan menyaksikan 114 penerbangan seminggu berbanding 44, Miri daripada 19 kepada 40 penerbangan, Sibu (lapan kepada 31), Bintulu (enam kepada 24), Limbang dan Lawas (lima kepada tujuh) manakala Mulu kekal tujuh penerbangan seminggu.

“Pihak kementerian percaya kekerapan penerbangan itu mampu melancarkan jadual penerbangan dan mengurangkan lagi tambang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata dengan peningkatan kekerapan penerbangan dari luar Sarawak dan tiada sekatan penerbangan dalam Sarawak serta beroperasi pada kapasiti muatan penumpang penuh itu, maka tidak ada sebab untuk syarikat penerbangan mengenakan tambang yang tinggi.

“Kami ingin mengingatkan semua syarikat penerbangan untuk melaksanakan tanggungjawab sosial mereka dalam masa sukar ini dengan tidak mengambil kesempatan terhadap pengembara,” katanya.

— BERNAMA

PALING POPULAR

To Top